Kerajaan tak boleh dipercayai, tak ada harapan, kata ahli Parlimen pembangkang


Raevathi Supramaniam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini dibidas teruk oleh ahli Parlimen pembangkang, malah ada yang menggesa semua ahli jemaah kabinetnya letak jawatan kerana menghina Perlembagaan dalam menguruskan perihal ordinan darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin dikritik hebat ahli Parlimen pembangkang selepas mengakui pembatalan Ordinan Darurat tidak dibuat dengan betul, dengan beberapa orang mendesak seluruh kabinet letak jawatan sementara yang lain berkata kerajaan susah tidak ada harapan dan tidak boleh dipercayai.

Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini berkata proses membatalkan ordinan sebagaimana yang dibuat oleh kabinet tidak dapat dilanjutkan tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau, bagaimanapun, berkata ordinan tersebut akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang dijadualkan pada September.

Ahli Parlimen membuat respons kepada kenyataan Muhyiddin hari ini sebelum Umno petang tadi mengumumkan parti itu menarik kembali sokongan terhadap perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sudah hilang majoriti dan keabsahan serta perlu meletak jawatan secara terhormat.

Sebelum itu, ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata perdana menteri dan semuah jemaah kabinetnya perlu letak jawatan kerana mengelirukan Dewan Rakyat selain menghina Perlembagaan Persekutuan dan raja berperlembagaan.

“Perdana Menteri akui beliau dan kabinet telah silap.

“Kesilapan perdana menteri, Menteri Undang-undang, Jemaah Menteri dalam soal pembatalan Ordinan Darurat adalah mengelirukan Dewan Rakyat dan menghina Perlembagaan Persekutuan serta Yang di-Pertuan Agong sebagai raja berperlembagaan sehingga mencetuskan krisis perlembagaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain meminta semua ahli jemaah kabinet letak jawatan, bekas ketua PKR Johor itu berkata Peguam Negara Idrus Harun yang juga penasihat undang-undang kerajaan juga perlu letak jawatan kerana gagal memberikan nasihat yang betul mengenai Perlembagaan kepada perdana menteri, kabinet dan Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul berkata, kerajaan nampak keliru dan tidak menghairankan negara ini berada dalam keadaan kucar-kacir sejak Muhyiddin berkuasa.

“Sia-sia dan tidak ada harapan,” kata ahli Amanah itu.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak boleh dipercayai.

“Saya tidak tahu sama ada kita boleh percaya kata-kata kerajaan ini lagi. Semalam, sepatutnya kita ada sesi, sesi terakhir mesyuarat khas tetapi ditutup kerana alasan yang dangkal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Jujur saya tidak tahu sama ada kita boleh percaya apa yang kerajaan cakap, contohnya, mereka kata Takiyuddin akan jawab pada Isnin, beliau tidak boleh larikan diri, tetapi kini dia dimasukkan ke hospital.”

Fahmi merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung. – 3 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen