Fikir panjang sebelum terima projek estet sawah


SYARIKAT-syarikat peneraju yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dilihat semakin giat berkempen untuk melaksanakan projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) yang telah dilancarkan pada Februari lalu. 

Malah, agensi-agensi kerajaan turut terlibat melobi para petani untuk menyertai skim SBB ini. 

Pada 31 Julai lepas, turut dipromosikan aktiviti ternakan udang dalam kawasan estet sawah ini untuk dilaksanakan secara integrasi bersama tanaman padi. Dilaporkan bahawa 30% kawasan estet akan digunakan untuk ternakan udang galah manakala 70% lagi untuk tanaman padi. 

Kami memandang serius perkembangan terkini ini kerana semakin jelas bahawa projek SBB ini akan memberi kuasa kepada pihak pengurusan estet untuk melakukan apa sahaja projek yang mereka mahu di kawasan yang telah mereka pajak atau miliki. 

Sebelum ini, para petani diberitahu bahawa projek SBB ini akan memfokuskan penambahbaikan penanaman padi untuk meningkatkan hasil. 

Sasaran yang ditetapkan untuk projek ini adalah peningkatan tahap sara diri (SSL) beras kepada 75% dan pengeluaran hasil sebanyak 7 tan per hektar. Sementara itu, pendapatan purata petani akan ditingkatkan kepada RM7000 setahun per hektar. 

Belum pun setahun projek ini berjalan, pihak estet telah mengubah strategi dengan mahu menternak udang pula. 

Adakah pihak syarikat peneraju tidak yakin dengan perancangan tanaman padi ‘smart’ mereka sendiri ataupun dari awal lagi tidak berminat dengan agenda peningkatan pengeluaran padi tempatan kerana lebih mudah dan untung mengimport beras dan menternak udang?

Sejarah daripada projek ternakan udang harimau di Kerpan, Kedah yang bermula pada awal tahun 90-an atas tanah sawah sepatutnya mengajar kita bahawa apabila tanah sawah dijadikan kolam udang, ia akan membawa masalah lain seperti pencemaran tanah dan air yang berlaku sehingga sekarang. 

Malah ia tidak sesuai lagi ditukar kembali kepada sawah apabila tempoh pajakan berakhir. 

Pengajaran daripada projek ternakan ikan arowana di kawasan sawah sekitar Tasik Bukit Merah juga perlu dilihat. Projek ternakan ikan tersebut banyak menggunakan air dari sumber Empangan Bukit Merah menyebabkan tanaman padi sering kekurangan air. 

Siasatan CAP dan SAM mendapati terdapat kejadian mencuri air dari saluran air dan dalam perkembangan terkini, banyak kolam arowana telah ditinggalkan kerana kos penyelenggaraan yang tinggi dan cukai tanah tidak lagi dalam kategori pertanian. 

Kami juga menerima banyak maklum balas daripada para pesawah yang menyatakan bahawa projek SBB ini akan meminggirkan ramai petani-petani muda yang komited menyewa banyak sawah untuk diusahakan jika tuan tanah ditawarkan bayaran sewaan yang lebih tinggi oleh syarikat. 

Selain itu, risiko kemasukan pekerja asing yang lebih murah, pengusaha traktor dan jentera sedia ada kehilangan pelanggan, risiko tanah tergadai kerana tidak berhati-hati dengan terma dan syarat perjanjian. 

Tanah sawah juga berisiko rosak akibat pencemaran racun berleluasa, penggunaan nutrien tanah secara maksimum atau penggunaan tanah ditukar kepada projek lain. 

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menolak projek Smart SBB ini dan menyarankan agar para petani melakukan perkara yang sama. 

Para petani dan tuan tanah yang berura-ura untuk menyertai projek SBB ini disarankan agar berfikir panjang dan merujuk dahulu kepada petani yang lebih berpengalaman, dan meminta bantuan peguam atau mereka yang mahir dalam meneliti surat perjanjian sebelum menandatangani apa-apa perjanjian. 

Alternatif kepada projek SBB ini, kami menyarankan agar konsep pertanian berkelompok yang diterajui oleh pertubuhan, koperasi atau perusahaan kecil dan sederhana tempatan dilaksanakan di kawasan-kawasan sawah yang terbiar, kurang berhasil atau masih ketinggalan dari segi infrastruktur. 

Manakala kawasan yang sudah sedia ada pengusahanya, janganlah diganggu, malah agensi sedia ada teruskan membantu dengan lebih baik dari segi sokongan modal, infrastruktur, kawalan harga dan pasaran benih serta input pertanian yang lebih berkesan dan sistem harga dan potongan pemutuan padi yang adil. 

Pada ketika ini, ramai pesawah yang telahpun berjaya mencapai hasil sehingga 6 ke 7 tan sehektar atas usaha mereka sendiri, janganlah pihak kerajaan mensia-siakan usaha mereka dengan melaksanakan projek SBB ini, jadikan mereka sebagai contoh terbaik. – 3 Ogos, 2021.

* Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen