Estet padi untuk ternak udang galah, kata 2 badan pesawah


Projek estet padi yang dirancang kerajaan dikatakan akan memberi rugi bukannya keuntungan buat pesawah kerana menurut PeSAWAH dan FKMM, hanya sebahagian sahaja tanah digunakan untuk penanaman padi sementara 30% untuk ternak udang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

PROJEK estet padi atau Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang sedang dirancang oleh kerajaan akan merugikan penanam padi dari segi jangka panjang, kata dua badan berkaitan dengan industri padi dan beras, dan ekonomi.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) meminta pesawah supaya tidak tergesa-gesa menyertai projek itu kerana bukan semua kawasan terlibat diguna untuk penanaman padi.

Mereka mengingatkan hanya sebahagian sahaja tanah terlibat untuk penanaman padi sementara 30% kawasan estet dipakai untuk penternakan udang galah.

“Kami memandang serius perkembangan terkini ini kerana semakin jelas bahawa projek SBB ini akan memberi kuasa kepada pihak pengurusan estet untuk melakukan apa sahaja projek yang mereka mahu di kawasan yang telah mereka pajak atau miliki,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

FKMM adalah sebuah badan yang didukung 16 pertubuhan terdiri daripada persatuan pengguna, petani, dan alam sekitar.

Menurut mereka, petani sebelum ini diberitahu bahawa projek Smart SBB bertujuan untuk menambah baik penanaman padi dan meningkatkan hasil.

“Belum pun setahun projek ini berjalan, pihak estet telah mengubah strategi dengan mahu menternak udang pula,” kata mereka.

SBB dilaksanakan melalui perjanjian usaha sama antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan 11 syarikat peneraju yang dimeterai pada Februari lalu.

Menteri Ronald Kiandee ketika itu berkata projek berkenaan boleh meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 kepada sehingga RM7,900 setahun.

Sabtu lalu, Ronald melawat kawasan Smart SBB di Seberang Perak yang menjadi projek rintis integrasi tanaman padi dan ternakan udang galah.

Smart SBB dilancarkan sebagai usaha kerajaan menangani isu sekuriti makanan dan meningkatkan tahap sara diri beras negara, yang seterusnya akan mengurangkan import dari Vietnam, Thailand, Kemboja, India dan Pakistan. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen