SALAH seorang artis terkenal Hong Kong mengesahkan pada Selasa beliau telah berpindah ke Taiwan bagi mencari kebebasan penuh selain mengelak tindakan keras pemerintah komunis China yang mengekang perbezaan pendapat.
Penghijrahan Kacey Wong adalah tamparan terbaharu buat Hong Kong yang sebelum ini terkenal sebagai “syurga seni” dan kebebasan bersuara.
Tindakannya itu dibuat ketika pengkritik membidas pemerintah yang meningkatkan cengkaman terhadap rakyat di Hong Kong.
Wong, 51, menyiarkan video hitam-putih di Facebook di mana beliau menyanyikan pementasan Ode Vera Lynn “We Will Meet Again”.
“Pergi bukan senang, duduk juga susah,” tulisnya.
Dalam wawancara dengan laman web Hong Kong Free Press, Wong mengesahkan beliau melarikan diri dari Hong Kong atas alasan politik, selain alasan ruang makin sempit untuk kebebasan seni sejak China mengenakan undang-undang keselamatan nasional yang melarang perbezaan pendapat.
Artis itu terkenal dengan seni visual kontemporari yang memfokuskan pada aktivisme sosial dan politik.
Dalam satu karya seni persembahan 2018 yang disebut “The Patriot”, Wong mempersembahkan lagu kebangsaan China dengan akordeon ketika berada di dalam sangkar logam merah.
Tahun lepas pihak berkuasa meluluskan undang-undang baharu yang mengharamkan ejek lagu kebangsaan atau bendera China, bermaksud setiap persembahan yang diulang seperti itu akan berhadpaan dengan tindakan keras.
“Saya mahu dan saya tuntut kebebasan 100 peratus, tanpa kompromi,” kata Wong kepada Hong Kong Free Press.
“Saya selalu menghargai budaya dan seni Taiwan, saya rasa sangat dewasa dan mendalam dan masyarakatnya canggih dan mentah pada masa sama. Ini yang saya suka,” tambahnya. – AFP, 3 Ogos, 2021.
Komen