Peguam mengaku tak bersalah hina sistem kehakiman, PDRM


Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz didakwa membuat kenyataan jelik mengenai sistem kehakiman negara dan PDRM melalui laman sosial Facebook, Mac lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

SEORANG peguam yang dikenali sebagai “Buzze Azam” mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan jelik mengenai sistem kehakiman negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman sosial Facebook, Mac lepas.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, 44, yang juga naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Khairul Azam didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman profil ‘Buzze Azam’ di Facebook pada 1.04 tengah hari, 24 Mac lepas.

Hantaran itu kemudian telah dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, pada 3.50 petang, 25 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah berkahwin dan menanggung lima anak yang masih kecil.

“Anak guam saya merupakan seorang peguam yang berdaftar dan tiada kemungkinan untuknya melarikan diri. Dia juga telah hadir sendiri ke balai polis semasa siasatan kes dijalankan. Saya mohon satu jaminan minimum,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Mac lepas, Khairul Azam dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan membuat kenyataan yang mengapikan orang Melayu terhadap bangsa Cina dan India melalui Facebook, selepas Jabatan Peguam Negara meneliti representasi daripada pembelaan dan menarik balik pertuduhan terhadap peguam itu. – Bernama, 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen