Pelan pilihan raya Myanmar ditolak


Junta Myanmar melengahkan masa dengan jangka waktu dua tahun pilihan raya ketika Setiausaha Negara AS Antony Blinken bersedia untuk menggesa Asean untuk melantik utusan. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) berkata junta Myanmar melengah-lengahkan masa dengan jangka waktu dua tahun pilihan raya ketika Setiausaha Negara AS Antony Blinken bersedia untuk menggesa Asean untuk melantik utusan.

Blinken menyertai perbincangan secara maya dengan menteri luar Asean, satu tawaran terbaru oleh pentadbiran Presiden Joe Biden untuk berada di hadapan dalam persaingan AS dengan China.

Menjelang rundingan Asean, ketua junta Myanmar berjanji untuk mengadakan pilihan raya dan menarik balik darurat menjelang Ogos 2023, memanjangkan tempoh masa awal yang diberikan kepada tentera yang menggulingkan pemimpin yang dipilih, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari.

“Tindakan itu menunjukkan Asean harus meningkatkan usahanya kerana junta Myanmar hanya melengahkan masa untuk keuntungannya sendiri”, kata pegawai kanan AS.

“Banyak alasan mengapa Asean harus terbabit dalam hal ini dan menegakkan syarat lima poin konsensus yang turut ditandatangani Myanmar.

“Ketua Junta Min Aung Hlaing hadir pertemuan dengan anggota Asean mengenai krisis pada April lalu yang menghasilkan kenyataan konsensus yang menyeru keganasan dihentikan dan utusan khas wilayah dilantik.”

Tetapi, pemimpin junta kemudian menjauhkan diri dan tiada utusan yang dilantik, manakala lebih 900 dilaporkan terkorban dalam tindakan keras selama enam bulan.

Pegawai AS berkata Blinken akan menangani pemaksaan Beijing terhadap negara Asean di Laut China Selatan dan menyoroti masalah hak asasi manusia di China.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin melawat Asia Tenggara minggu lalu dan berkata tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa.

Naib Presiden AS Kamala Harris bulan ini dijangka ke Singapura dan Vietnam. – AFP, 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen