Jerman tawar suntikan booster Covid-19 mulai September


Orang ramai mendapatkan suntikan vaksin secara pandu lalu di ruang luar pusat beli-belah Ikea di Berlin. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2021.

JERMAN akan mula memberi suntikan booster atau penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan memerlukan dan bakal memudahkan suntikan diberi kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun, bermula September ini, kata menteri kesihatannya dalam kenyataan, semalam.

Suntikan penggalak itu akan menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna tanpa mengambil kira jenis vaksin diterima sebelumnya.

Keputusan itu dibuat barisan menteri selepas perbincangan dengan Menteri Kesihatan Persekutuan Jens Spahn.

Mereka juga bersetuju memberi vaksin kepada individu berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Keputusan itu mencerminkan kebimbangan Jerman berhubung varian Delta yang pertama kali ditemui di India dan merebak lebih cepat, mungkin memaksa negara itu kembali melaksanakan sekatan pergerakan menjelang pilihan raya umum di Eropah pada September.

Sebanyak 16 negeri di Jerman menguruskan kesihatan sendiri mahu memberi vaksin kepada lebih ramai orang bagi mengelak gelombang keempat penularan Covid-19.

Lebih 52% penduduk lengkap divaksinasi dan hampir 62% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi individu berusia antara 12 dan 17 tahun adalah sukarela seperti populasi lain dan hanya akan dilakukan selepas menerima persetujuan ibu bapa dan pemeriksaan perubatan mengetepikan risiko kesihatan serius, kata menteri itu.

Kira-kira 10% daripada 4.5 juta individu dalam kumpulan usia berkenaan sudah lengkap divaksinasi.

Jerman mencatatkan lebih 2,000 kes harian baharu sejak Rabu lalu. – AFP, 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen