INDONESIA menyambung sekatan pergerakan mencegah Covid-19 untuk seminggu lagi selepas langkah sama sebelum ini berjaya menurunkan jangkitan baharu di Jawa dan Bali, lapor media di republik itu.
Sekatan pergerakan sejak 3 Julai kini dilanjutkan sehingga 9 Ogos, umum Presiden Joko Widodo malam tadi.
“Walaupun sudah mulai ada perbaikan namun perkembangan kes Covid-19 masih sangat dinamik dan fluktuatif.
“Sekali lagi, kita harus terus waspada dalam melakukan berbagai upaya untuk mengendalikan jangkitan Covid-19 ini,” katanya, seperti dipetik portal berita DetikNews.
Sekatan pergerakan ini antara lain menutup perniagaan tidak perlu termasuk pusat membeli-belah serta rumah ibadat.
Ia meliputi Jawa dan Bali, wilayah yang padat penduduk di republik itu, serta di beberapa wilayah di Sumatera dan Sulawesi.
Indonesia sehingga ini merekodkan hampir 3.5 juta kes Covid-19 dengan lebih 97,000 kematian.
Semalam, ia mengumumkan 22,404 kes jangkitan baharu sementara 1,568 orang meninggal dunia –angka korban yang konsisten dari hari ke hari sejak seminggu lalu. – Agensi, 3 Ogos, 2021.
Komen