China kurangkan subsidi kereta elektrik menjelang pemansuhan akhir 2020


SUBSIDI untuk kereta elektrik di China dijangka akan dikurangkan lagi tahun ini, sebelum ia dimansuhkan menjelang akhir 2020, lapor agensi berita Xinhua.

“Pada awalnya langkah itu dijadual dilaksanakan pada penghujung 2017, lantaran beberapa kontroversi ia ditangguhkan sementara,” kata Naib Presiden Pusat Teknologi dan Penyelidikan Automotif China, Wu Zhixin.

Beliau berkata, draf akhir mengenai perkara itu dipersetujui beberapa kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat, draf tersebut juga telah diserahkan untuk kelulusan.

Namun, Wu tidak memberi butiran lanjut mengenai jumlah subsidi yang akan dikurangkan tetapi menurutnya, kereta yang menerima subsidi pada 2017 kelayakan itu boleh dilanjutkan bagi tempoh empat bulan lagi tahun ini.

China menawarkan insentif kewangan sejak 2010 untuk merangsang populariti kereta elektrik.

Wu berkata, potongan subsidi tersebut akan menyaksikan pemain industri kecil dan tidak kompetitif terpaksa menghentikan pengeluaran mereka lebih cepat daripada jangkaan, sementara yang mempunyai prestasi cemerlang tidak banyak terjejas.

Persatuan Pengilang Automobil China menganggarkan jualan kereta elektrik akan berkembang sekitar 40% kepada sejuta unit pada 2018.

Lebih 777,000 unit kereta elektrik dijual tahun lepas di China, iaitu peningkatan 53% dari tahun ke tahun. – Bernama, 18 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen