BADAN amal perubatan Doctors Without Borders menutup hospitalnya di kawasan miskin di ibu kota Haiti, Port-au-Prince berikutan berlaku keganasan geng di lokasi itu.
Hospital itu di Martissant menawarkan rawatan perubatan secara percuma kepada kira-kira 300,000 penduduk di negara termiskin di Amerika itu, dan selama ini beroperasi secara amal – dikenali dengan akronim MSF sejak 2006.
Tetapi sejak dua bulan lalu, geng bersenjata bergaduh dan bertempur kerana berebut kawalan di Martissant dengan kawasan itu kini dikepung.
Polis tidak lagi berkawal di kawasan itu selepas balai polis di situ diserang geng apabila keganasan meletus pada awal Jun.
Ribuan penduduk melarikan diri sementara bank dan kedai dirompak kumpulan bersenjata.
Hospital MSF diserang dengan tembakan pada akhir Jun, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dan badan amal itu bukan sasaran yang disengajakan.
Pada masa itu, ia berkata akan mengosongkan hospital berkenaan demi keselamatan staf.
“Kami tidak dapat menjamin keselamatan staf dan pesakit, dan tidak mahu lagi berada dalam keadaan yang sukar dikawal di Martissant menyebabkan MSF terpaksa menutup hospital ini selepas 15 tahun beroperasi di kawasan ini,” katanya.
NGO itu berkata pada masa ini ia tidak sempat menurunkan logo daripada bangunan itu, dan enggan bertanggungjawab terhadap apa yang mungkin berlaku kepada bangunan berkenaan.
Badan amal yang pernah memenangi anugerah keamanan Nobel itu berkata ia akan terus membantu rakyat Haiti, dan sedang berbincang untuk berpindah ke bahagian lain di Port-au-Prince. MSF sudah berada di Haiti selama 30 tahun. – AFP, 3 Ogos, 2021.
Komen