PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron menggunakan aplikasi TikTok dan Instagram untuk menepis maklumat tidak tepat berkaitan vaksin, susulan demonstrasi bantahan terhadap pas kesihatan Covid kini berlangsung hampir tiga minggu.
Macron dengan berkemeja T warna hitam tampil dalam satu video pendek dirakamkan dari rumah percutian presiden di selatan Perancis, di mana beliau berulang kali berkata vaksin adalah satu-satunya senjata yang dapat menewaskan gelombang keempat koronavirus.
“Ada antara anda yang mungkin mendengar khabar palsu, antaranya langsung tidak betul,” katanya dalam video itu, dan turut menggesa mereka yang meragui vaksin boleh memberi soalan terus kepadanya.
Kira-kira 200,000 individu menyertai demonstrasi di seluruh Perancis pada Sabtu.
Protes itu adalah yang terbesar sejak Macron bulan lalu mengumumkan rakyat perlu mengemukakan bukti vaksinasi, ujian negatif Covid-19 atau pas pulih daripada Covid-19, sebelum masuk ke tempat awam seperti muzium, pawagam dan kawasan sukan.
Peraturan itu akan diperluaskan ke bar, restoran, kereta api jarak jauh dan pusat beli-belah bermula 9 Ogos.
Pembangkang mendakwa Macron melakukan tindakan dictator kesihatan, berkata langkah itu menyekat kebebasan rakyat untuk memilih.
Hampir serupa dengan protes anti kerajaan “jaket kuning” pada 2018-2019, puluhan ribu orang mengadakan protes, dengan ada antaranya berlaku rusuhan.
Macron, yang dijangka akan menyertai sekali lagi pilihan raya tahun depan, menjadi subjek kecaman penunjuk perasaan.
Pada Sabtu lalu, pusat vaksin di Martinique dibakar, sementara penunjuk perasaan di Montpellier mengepung seorang ahli farmasi yang menjalankan ujian saringan Covid, menuduhnya pembunuh dan pengkhianat.
Setakat ini, 42.6 juta penduduk di Perancis menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, mewakili 63.2% daripada jumlah keseluruhan populasi. Daripada jumlah itu, 35.7 juta penduduk sudah menerima dos lengkap.
Sebanyak 19,600 jangkitan baharu direkodkan pada Ahad, naik daripada 5,000 purata kes pada pertengahan Jun – peningkatan kes dikatakan kerana varian Delta.
Hampir 112,000 kematian direkodkan di Perancis sejak pandemik bermula. – AFP, 3 Ogos, 2021.
Komen