Khadam tirani 


Hadri Shah

INI sebuah kisah benar. Berlaku di Itali pada tahun 1900 silam. Yang terisi dalam kisah ini semestinya tauladan. Tiada sempadan. Kerana siri kisah-kisah rakyat melawan tirani, sempadan tak pernah wujud. 

Yang kekal wujud ialah semangat perlawanan. Ia diabadikan di angkasa. Menunggu masa dipetik lelaki dan perempuan yang ingin mencipta perkara nyaris mustahil dalam dunia, yakni kebebasan.

Pada hujung abad ke-19, situasi ekonomi di Itali memprovokasi kehidupan rakyat jelata. Raja Itali bernama Umberto hidup bersenang lenang atas cukai yang tinggi.

Kaum bangsawan, tuan tanah dan orang kaya mengeksploitasi rakyat bawahan. Mereka tenggelam dalam lumpur kemiskinan dan kelaparan. 

Lalu, rakyat yang tertindas bersepakat keluar meninggalkan ladang dan tempat kerja berjalan menuju ke istana raja di Milan. Mereka pergi untuk menuntut keadilan dengan aman.

Kedatangan rakyat disambut meriah. Letupan meriam dan percikan peluru dari senapang-senapang elegan tepat menuju ke dada rakyat. 300 nyawa langsung memanjat langit. Beribu cedera parah. 

Universiti-universiti ditutup. 110 syarikat surat khabar dibungkam dan ribuan ditahan. Yang mati, yang parah, yang ditekan dan ditangkap – semuanya rakyat. Miskin dan melarat diratah serigala ciptaan pemerintah. 

Bagi sang raja, tindakannya itu wajar. Sekiranya tidak diuruskan dengan cara begitu, negeri akan bergolak. Sang raja berbangga pemberontakan berjaya ditundukkan.

Namun sayang sekali, baginda tidak diberitahu malaikat bahawa hidupnya bakal diakhiri di tangan rakyatnya sendiri.

Sehari selepas baginda menikmati istirahat terakhirnya di Villa Reale di Monza, seorang rakyat miskin sudah bersedia mengambil tugasan malaikat maut. 

Tiga das tembakan tepat menembusi bahu, paru-paru dan hati Raja Umberto pada petang Ahad bersamaan 29 Julai 1900.

Harta, kekuasaan serta legasi Raja Umberto gagal menyelamatkannya. Dia mangkat di tempat kejadian. Di hadapan mayat Umberto, si pembunuh tenang berdiri tanpa melarikan diri.

Ketika tangannya digari, si pembunuh berkata: “Saya tidak membunuh Umberto. Tetapi saya membunuh seorang raja. Seorang tirani yang ngeri.”

Siapa sangka, Gaetano Bresci, si pembunuh Raja Umberto sebenarnya seorang pemuda yang pendiam dan baik hati. Tidak minum arak. Jauh sekali menghisap rokok. 

Bresci dikenali sebagai seorang peminat muzik. Seperti yang pernah diceritakan Emma Goldman, Bresci seorang penenun fabrik berskil tinggi, kuat bekerja, dihormati dan salah seorang pendiri akhbar anarkis La Questinale. 

Setiap hari Ahad, pemuda ini akan menolong membereskan kerja-kerja di pejabat. Keperibadiannya yang mulia sangat disenangi kawan-kawan.

Bresci dipenjara atas kesalahan membunuh. Pada May 1901, The New York Times melaporkan Bresci ditemui mati menggantung diri sendiri dalam penjara.

Ada yang mengatakan jasadnya dilempar ke laut. Ada juga yang mengatakan mayat Bresci ditanam di tanah perkuburan San Ercolano. 

Kisah Bresci mendapat perhatian seluruh dunia. Leo Tolstoy, seorang sasterawan Rusia terkenal pernah menulis sepucuk surat mengenai kejadian pembunuhan Raja Umberto bertajuk “Thou Shalt Not Kill”. Surat itu diterbitkan pada 8 Ogos 1900.

Aturan serigala

Tolstoy menulis surat berkenaan bukan semata-mata untuk membenarkan tindakan Bresci, melainkan untuk menzahirkan bagaimana aturan yang dikepalai oleh seekor serigala telah mencipta kemelaratan hidup buat yang diperintah.

Tegas sasterawan ini dalam suratnya: “Bukan raja-raja seperti Alexander, Umberto, William, Nicholas dan Chamberlain yang bertanggungjawab sepenuhnya atas penindasan dan perang yang merugikan rakyat, melainkan mereka yang menempatkan pemerintah dalam posisi sedemikian… masyarakat wajib berhenti menyokong sebuah sistem brutal yang menghasilkan pemerintah barbarik seperti mereka.

Apa yang berlaku sekarang ialah egoisme dan kebodohan masyarakat yang menjual kebebasan dan kehormatan demi menjamin kepentingan peribadi.”

Kata-kata Tolstoy ini sangat bererti dalam konteks yang sedang berlaku di sebuah negeri moden hari ini. Setahun lalu, negeri itu disihir virus. Pada awalnya, mereka menerima musibah dengan tenang; mengaminkan doa kepala negeri sambil menghirup kopi dalgona. 

Setahun berlalu, kehidupan rakyat semakin lumpuh. Tiada lagi doa. Tiada lagi secawan kopi. 

Kadar pengangguran memecah rekod negeri. Sebanyak 728,100 orang menganggur dengan lebih 10 peratus melibatkan kes pengangguran lebih dari setahun. 

Persekolahan anak-anak kucar kacir. Berjuta rumah menangisi kehilangan makanan dalam pinggan. Korban akibat virus menghampiri 10 ribu. 

Tiada tanda-tanda pemerintah berupaya mengekang penularan virus sehingga menyebabkan perkhidmatan kesihatan awam nyaris padam. 

Namun di tengah-tengah musibah, dikhabarkan orang-orang kaya negeri bertambah kaya. Gabungan individu 50 orang kaya negeri menyaksikan pertambahan kekayaan mereka sehampir AS$90 billion menokok daripada AS$79 bilion pada tahun lepas. 

Manakala para menteri dan ahli politik kekal berkuasa. Mereka masih boleh bersiar-siar makan angin di Perancis. Ada pula yang memenuhi jemputan majlis-majlis bangsawan seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

Sekali sekala, mereka bergocoh di sidang Parlimen berhabuk; cuba membuktikan kerja keras demi rakyat walaupun akhirnya, gelanggang tempat mengupayakan dasar rakyat ditutup sepi. 

Tidak ada kain hijab yang mampu menyembunyikan kegagalan pentadbiran negeri. Namun, seperti kata Tolstoy, di bawah sistem barbarik, ada khadam tirani yang berperanan menyucikan keadaan.

Ketika rakyat kelaparan, hampir berputus asa dan beratus telah mengambil nyawa sendiri, ada orang kaya negeri dan elit agamawan memandang sinis. Menganggap si miskin lemah. Tidak berpedoman. Hidup bergelumang keputusasaan. 

Mereka angkuh mengatakan si miskin pemalas kerana mengibar bendera putih. Kalaupun datang memberi bantuan, gayanya seperti utusan Tuhan. 

Dan pada saat, doktor dan rakyat jelata membuat keputusan jalan raya sebagai jalan menuntut kerajaan berlaku adil dalam menangani krisis, tindakan itu diperlecehkan. Dianggap sia-sia, tidak bertanggungjawab dan khianat kepada keamanan serta bukan pembaikpulih keadaan. 

Inilah pesanan Tolstoy 121 tahun silam. 

Memang tirani masalah masyarakat. Ia memenjarakan. Ia menggagalkan demokrasi. Pun masalah utama selain tirani, ialah kekuatan kelas yang mendokong mereka. 

Kelas yang menafikan penderitaan massa. Kelas yang membenarkan tuduhan klasik kemiskinan berpunca dari kemalasan. Kelas yang menjual nama Tuhan, sedangkan Tuhan tidak mungkin redha dengan kecurangan sistem berpihak kepada segelintir. 

Inilah kelas yang akan sentiasa mengekalkan keangkuhan tirani.

Kita bernasib baik. Di tanah air sendiri, krisis diurus sebaik mungkin. Tiada rumah tanpa beras dan lauk. Tiada siapa jatuh miskin. Virus ditundukkan dengan kekuatan sistem kesihatan publik. Para menteri bijaksana sentiasa berbahas sesama sendiri menggubal dasar demi kebaikan semua.

Demikianlah betapa berkatnya negeri tanpa khadam tirani. – 3 Ogos, 2021.
 

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen