Wakil rakyat Selangor minta KKM, hospital dedah masalah kurang bekalan


Bernard Saw

Kakitangan hospital menyediakan tangki oksigen untuk diagihkan ke pusat kuarantin Covid-19 di Serdang, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

KERAJAAN dan hospital awam perlu telus mengenai kekurangan bekalan dan peralatan perubatan yang diperlukan dalam melawan pandemik Covid-19, bukannya menutup masalah itu, kata wakil rakyat dan exco Selangor.

Jika perkara sebenar dimaklumkan, wakil rakyat dan ahli majlis kerajaan tempatan akan berbesar hati untuk menolong sedaya mampu, kata mereka.

Walaupun beberapa doktor meluahkan kemarahan mengenai keadaan menyedihkan di hospital, kenyataan rasmi pihak berkuasa pula dilihat memperlekeh malah memberi gambaran berbeza tentang keadaan sebenar sedangkan negara sedang mengalami krisis kesihatan awam.

Adun dan ahli majlis kerajaan tempatan memberitahu The Malaysian Insight mereka terus menerus mendapat aduan daripada pesakit Covid-19 atau ahli keluarga mereka mengenai keadaan di hospital di Lembah Klang, termasuk laporan mengenai pesakit meninggal dunia ketika menunggu ambulans atau katil.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Lee Fu Haw memetik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebagai contoh, di mana pengarah memberitahu media bekalan hospital itu mencukupi.

Namun, menurut keluhan diterima, seorang pesakit di hospital sampai terpaksa minta keluarganya hantar kadbod supaya dia boleh duduk di lantai kerana katil dan kerusi di HTAR sudah penuh.

“Ibu itu diberitahu tidak ada katil kosong dan diminta duduk menunggu di lantai.

“Seorang pesakit lain memberitahu si ibu itu yang dia terpaksa duduk dan tidur di lantai sejak dua hari.

“Tidak ada katil dan kerusi di hospital. Dari maklumat ini, kita tahu betapa seriusnya keadaan sebenar,” kata Lee.

Ahli Majlis MPK Lee Fu Haw berkata aduan diterima pesakit di HTAR terpaksa duduk di lantai kerana katil dan kerusi penuh, tetapi pengarah hospital memberitahu media bekalan hospital itu mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

Beliau berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang sukarelawan pembasmi kuman yang pernah pergi ke rumah keluarga pesakit berkenaan.

Lee berkata beliau kini meragui kenyataan pengarah hospital kerana maklum balas daripada pesakit memberikan gambaran berbeza.

Juster beliau menggesa hospital dan Kementerian Kesihatan bersikap terbuka, telus dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

“Majlis perbandaran ada banyak auditorium kosong boleh digunakan sebagai pusat transit bagi pesakit dengan gejala ringan Covid-19. Pertubuhan bukan kerajaan juga sanggup bantu jika kerajaan nyatakan apa yang mereka perlukan.

“Penting bagi kedua-dua belah parti kerajaan dan pembangkang, serta pertubuhan masyarakat sivil sama-sama memerangi pandemik,” kata Lee.

Sementara itu, Adun Sri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, pesakit di Hospital Serdang tidak patut dibiar tidur di lantai jika kementerian berkata sudah buat persediaan untuk pasang khemah dan katil baharu.

Beliau juga turut dapat aduan mengenai kekurangan makanan, cadar, bekalan oksigen selain mengenai pesakit yang terpaksa tunggu lama untuk dapat katil.

Beberapa aduan mengenai makanan tersebut termasuk tiadanya sarapan pagi selama empat hari, sedangkan makan malam hanya diberikan sekitar 8.30 malam atau 9 malam.

Ean berkata hospital di Lembah Klang, di mana jangkitan dan kematian Covid-19 paling tertinggi berada dalam keadaan menyedihkan kerana kerajaan kurang strategi jangka panjang.

Beliau juga mendesak Kementerian Kesihatan mempermudah prosedur perolehan agar bekalan untuk pesakit Covid-19 dapat diperoleh dengan cepat.

“Ini waktu darurat, anda harus guna kaedah berbeza dan bukan kaedah biasa.

“Masalah ini dapat diselesaikan lebih dari setahun lepas, pandemik ini bukan baru dua minggu.

“Sudah lebih setahun kerajaan diberikan untuk merangka pelan, tetapi mereka tidak buat kerja dengan baik malah menganggap ianya perkara ringan,” kata Ean. – 3 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen