Kemboja bertegas teruskan pilihan raya, enggan terima pengiktirafan pihak luar


Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata di bawah perlembagaan, pengesahan keputusan pilihan raya tidak memerlukan pengiktirafan daripada presiden negara lain atau Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Gambar fail EPA, 18 Januari, 2018.

PERDANA Menteri Kemboja, Hun Sen pada Khamis menegaskan pilihan raya umum negara itu, akan diadakan mengikut jadual iaitu pada 29 Julai dan keputusan yang diperolehi tidak memerlukan pengiktirafan antarabangsa, lapor agensi berita Xinhua.

“Tarikh pilihan raya akan diadakan mengikut jadual. Walau apa pun yang berlaku pilihan raya tetap akan dijalankan,” katanya ketika berucap di Istana Keamanan.

Hun Sen berkata, di bawah perlembagaan, pengesahan keputusan pilihan raya tidak memerlukan pengiktirafan daripada presiden negara lain atau Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya disahkan apabila ia diiktiraf oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan, Majlis Perlembagaan dan oleh Raja Kemboja Norodom Sihamoni.

Beliau berkata demikian, susulan laporan media tempatan pada Khamis yang pilihan raya tidak akan diadakan sekiranya berlaku kekacauan. – Bernama, 18 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen