Angka kematian Covid-19 meningkat ke 219, lapor KKM


Ravin Palanisamy

Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 meningkat ke 9,403 selepas sebanyak 219 kes kematian baharu dilaporkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.

SEBANYAK 219 kematian akibat Covid-19 dicatatkan dalam 24 jam terakhir yang merupakan angka tertinggi dicatatkan sejak wabak bermula, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Jumlah kes kematian tertinggi yang dicatatkan sebelum ini adalah pada 26 dan 27 Julai lepas.

Kematian yang dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak ini adalah sebanyak 9,403.

Ini adalah hari kelapan berturut-turut negara ini mencatatkan kes kematian dalam tiga angka. 

Daripada jumlah kematian yang dilaporkan hari ini, Selangor mencatatkan 105 kematian diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 41 kematian dan Johor dengan 24 kematian.

Negeri lain yang melaporkan kematian adalah Melaka dengan sembilan, Pahang (8), Negeri Sembilan (7). Kedah dan Perak (masing-masing enam kes), Terengganu dan Kelantan (masing-masing empat kes), Sabah (3), Perlis dan Labuan (masing-masing satu kes).

Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, seramai 176 daripada mempunyai sejarah penyakit sementara 21 daripadanya meninggal dunia di luar hospital.

Seramai 28 daripada mereka yang mempunyai sejarah penyakit adalah warga asing dengan 14 kes dilaporkan di Selangor dan empat kes di Kuala Lumpur.

Sementara itu, jumlah kes aktif di negara ini hampir mencecah angka 200,000 dengan angka semasa berada pada tahap tertinggi iaitu 199,051 kes.

Jumlah kes aktif terus meningkat apabila Malaysia melaporkan lebih banyak kes baharu dari kes pulih dalam 38 hari berturut-turut.

Hari ini Malaysia mencatatkan 15,764 kes baharu berbanding 11,767 kes pulih.

Berkenaan kes baharu hari ini, Noor Hisham berkata hanya 0.9% kes berada di bawah Kategori 4 dan 5 sementara 99.1% kes yang dilaporkan adalah di antara Kategori 1 dan 3.

Mengenai perinciannya, beliau berkata sebanyak 8,783 kes berada di bawah Kategori 1 (asimtomatik), 6,695 kes di bawah Kategori 2 (gejala ringan), 135 kes di bawah Kategori 3 (pneumonia dan memerlukan sokongan oksigen) dan 87 kes di bawah Kategori 5 (berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan).

Selain itu Noor Hisham juga berkata seramai 1,063 pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 532 orang. – 2 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen