Bank jangan seksa golongan miskin


SESI Parlimen dibuka awal minggu lalu, namun sedihnya tidak dapat membahaskan isu-isu yang meruncing dan mencengkam hati rakyat terutamanya isu moratorium. 

Ramai ahli politik yang sibuk menjaga kuasa dan periuk nasi mereka sendiri, sehinggakan isu-isu yang penting tidak diperdebatkan langsung.

Keadaan rakyat sudah tenat pada waktu ini bukan sahaja kerana penutupan ekonomi namun kerana wang simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah digunakan untuk perbelanjaan. 

Sejak Mac tahun lalu, hampir 30 peratus daripada ahli KWSP telah mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka dari Akaun 1.

Penganalisis ekonomi Dr Madeline Berma berkata, kebanyakan pencarum yang aktif adalah golongan muda iaitu dalam lingkungan umur 40 tahun ke bawah. 

Ini menunjukkan ramai yang makin terdesak, bukan sekadar yang tua yang muda juga tidak mempunyai banyak pilihan lain lagi. 

Jika ramai yang terdesak, maka mereka akan sanggup mengambil apa sahaja bantuan walaupun mampu memudaratkan mereka.

Berapa ramai keluarga yang telah dilaporkan terpaksa tidur di dalam kereta, berlapar, memberhentikan persekolahan anak-anak atau membunuh diri? Pernah cuba bayangkan jika mereka ini dipaksa bayar kadar bunga yang tinggi juga.

Pihak bank hanya mementingkan keuntungan, mereka tidak kisah dari mana kita harus mendapatkan wang untuk membayarnya. Ibarat seseorang yang telah kehilangan kakinya, dipaksa bekerja seperti mana orang biasa. 

Sekurang-kuranya golongan B40 terutamanya tidak patut dikenakan kadar bunga bagi proses moratorium. Ia amat menyedihkan yang rakyat seperti bertarung nyawa dengan pihak bank.

Jika kita layari media sosial kita masih dapat melihat pelbagai masalah yang dihadapi rakyat:

1. Pertamanya pihak bank tidak menyediakan proses yang mudah bagi proses aplikasi. Semua orang disangka celik teknologi dan dapat memahami proses mereka. Bagaimana dengan warga tua dan golongan yang kurang arif tentang teknologi? 

Namun apabila cuba dihubungi selalunya bank tidak dapat dihubungi atau talian sibuk. Bagaimana kami ingin menanyakan kemusykilan kami?

2. Keduanya kadar bunga yang harus dibayar tidak masuk akal dan terlalu tinggi. Apabila ditanya tiada penjelasan yang jelas mengenai hal tersebut. Dipaksa menerima bulat-bulat pengiraan pihak bank. Walaupun kami tidak bekerja dalam sektor perbankan tidak bermaksud kami bodoh. 

Jika diberikan penerangan yang munasabah, tentunya kami dapat melihat logiknya. Namun di mana logiknya jika yang susah ditekan dengan kos yang tinggi?

3. Ketiganya, ramai yang masih belum dapat jawapan dari pihak bank sama ada permohonan diterima atau ditolak. Jawapan yang diberikan amat memakan masa dan menyusahkan.

Golongan yang susah terutamanya golongan B40 harus dikecualikan dari dikenakan kadar bunga. 

Moratorium bersasar ini juga sudah seperti gagal untuk mencapai objektif membantu rakyat kerana menghadapi banyak kekangan yang menyusahkan rakyat. 

Kerajaan harus menukar strategi dan memberikan moratorium kepada semua seperti yang sudah dilakukan dahulu tanpa caj kadar bunga. B

ukankah kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab akan perihal rakyat, jadi mengapa pihak bank yang dapat memberi kata putus? 

Adakah setiap empat tahun kita memilih wakil rakyat ataupun wakil bank? – 2 Ogos, 2021.

* Sohpie Shakur, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen