107 ahli Parlimen pembangkang akan disiasat, kata polis


Jalan menuju Parlimen ditutup dan disekat oleh polis pagi tadi menghalang ahli Parlimen yang kemudiannya berhimpun di Dataran Merdeka, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim. – Gambar The Malaysian Insight oleh , 2 Ogos, 2021.

POLIS akan memanggil semua ahli Parlimen yang berhimpun di Dataran Merdeka pagi ini untuk membantu siasatan kes perhimpunan yang melanggar peraturan pencegahan penyakit dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Seramai 107 ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka lebih kurang 9.30 pagi tadi selepas mereka disekat oleh polis untuk masuk ke jalan menuju ke Parlimen, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim.

“Kita akan panggil mereka untuk dirakam keterangan,” katanya pada sidang media di  Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Jelasnya, polis telah mengenal pasti ahli Parlimen yang terlibat dan mereka akan dipanggil dalam masa terdekat.

Mereka yang terlibat terdiri daripada ahli Parlimen pembangkang diketuai Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan disertai antaranya bekas perdana menteri dan ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Azmi menjelaskan pihak polis membuat sekatan jalan raya di jalan-jalan menuju ke Parlimen selepas mendapat maklumat ada penganjuran perhimpunan haram atas nama Perhimpunan Soladiriti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen.

“Rentetan maklumat itu semakan dengan Parlimen mendapati tiada sebarang persidangan pada hari ini, sebelum polis membuat sekatan dan lencongan dengan tidak membenarkan kumpulan itu berarak dan memasuki Parlimen,” katanya.

Pada Sabtu, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan kepada ahli Parlimen bahawa sidang hari ini ditangguhkan “ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak” atas arahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana Parlimen dianggap kawasan berisiko jangkitan Covid-19.

Menurut Azmi, polis menerima dua laporan berhubung perhimpunan ahli Parlimen pagi tadi, mendesak tindakan ke atas mereka.

“Polis tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu, maka kita telah buka kertas siasatan dan akan lakukan siasatan sepertimana perhimpunan lain menggunakan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi kesalahan perhimpunan tanpa notis, Seksyen 269 Kanun Keseksaan bagi kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa, serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturannya.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada kepada Jabatan Peguam Negara dan daripada situ kita tahu apa tindakan lanjut akan dibuat,” tambah Azmi.

Semasa perhimpunan di Dataran Merdeka, selain Anwar dan Dr Mahathir, beberapa pemimpin parti turut menyampaikan ucapan antaranya Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, dan Presiden penaja Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mereka kemudian berarak menuju ke sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, berdekatan ibu pejabat Bank Rakyat menuju masuk ke Jalan Parlimen.

Mereka membawa kain rentang bertulis “Mahiaddin dan Kabinet Letak Jawatan”, menggunakan ejaan rasmi nama perdana menteri.

Ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun dihalang oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berperisai daripada meneruskan perarakan.

Mereka pun lalu bersurai sementara dua ahli parlimen kemudian membuat laporan polis kerana dihalang memasuki kawasan Parlimen. – 2 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen