Polis cari 47 peserta perhimpunan Keluar dan Lawan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kira-kira 500 orang berkumpul menyertai perhimpunan "Keluar dan Lawan" di dataran Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di Jalan Tun Perak pada 10.30 pagi Sabtu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.

POLIS mencari sekurang-kurangnya 47 individu yang menyertai perhimpunan “Keluar dan Lawan” dekat Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu untuk dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata pihaknya hari ini sudah mengambil keterangan daripada 11 penganjur perhimpunan, susulan 19 laporan polis yang diterima di seluruh negara.

“Polis telah menerima laporan dan kami sudah memulakan siasatan. Kami akan memanggil semua peserta perhimpunan untuk diambil keterangan,” katanya pada sidang media di  Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Azmi berkata mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan mengadakan perhimpunan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya, serta Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis menganggarkan sehingga 500 orang berkumpul di dataran Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di Jalan Tun Perak pada 10.30 pagi sebelum berarak menuju ke Jalan Raja membawa kain rentang bertulis antaranya “Kita Mati Dalam Derhaka”, “Keluar dan Lawan”, dan “Lawan Koruptor”.

“Perhimpunan berlangsung dalam tempoh lebih kurang 2 jam,” katanya.

Pagi ini, lapan daripada 11 penganjur perhimpunan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberikan keterangan diiringi peguam masing-masing.

Dalam satu kenyataan jurucakap Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar berkata pihaknya akan meneruskan protes mereka, termasuk menganjurkan perhimpunan lebih besar, sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Mereka antara lain mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin letak jawatan dan sidang Parlimen penuh diadakan segera. β€“ 2 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen