Covid-19 akan jadi endemik, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Khairy Jamaluddin berkata pentingnya mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar virus terkawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.

COVID-19 akan menjadi endemik, kata Khairy Jamaluddin sambil menekankan pentingnya mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar virus terkawal.

Endemik merujuk kepada penyakit yang sering dikesan dalam kalangan kumpulan tertentu atau di kawasan tertentu.

“Kita harus terima bahawa dengan munculnya varian Delta, Covid-19 akan menjadi lebih endemik atau lebih tepatnya ada dalam kalangan masyarakat,” kata Khairy yang merupakan menteri penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dalam sidang media mingguan hari ini. 

Beliau berkata, walaupun rakyat Malaysia diberi vaksin sepenuhnya, adalah mustahak langkah-langkah lain seperti memakai topeng, penjarakan fizikal atau sosial serta menjaga kebersihan diri.

Khairy berkata vaksinasi itu penting kerana lebih banyak jangkitan baharu kini dikaitkan dengan varian Delta.

Dengan mengambil contoh Labuan dan Sarawak yang mempunyai peratusan tertinggi penduduk diberi vaksin beliau berkata, kadar rawatan di hospital dan kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 di sana sudah menurun.

Katanya, Putrajaya juga mengharapkan hasil yang serupa di Selangor dan Kuala Lumpur kerana semakin ramai sudah menerima vaksin sepenuhnya.

“Dengan jumlah varian Deltan masih tinggi, kami berharap melalui vaksinasi, angka kematian, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan juga kadar kemasukan pesakit menurun,” kata Khairy.

Khairy berkata, rakyat Malaysia tetap perlu berhati-hati walaupun sudah divaksinasi sepertimana negara-negara yang paling cepat memberikan vaksin kepada penduduknya yang kembali menguatkukasakan sekatan seperti pemakaian topeng muka.

Ketika ditanya adakah negara ini sedang berdepan kemuncak gelombak jangkitan ketika ini, Khairy berkata Lembah Klang mungkin sudah mencapai kemuncaknya dengan jumlah kes yang membimbangkan.

Sebanyak 21.2 juta dos vaksin sudah diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sejak ia bermula pada 24 Februari.

Kira-kira 14.24 juta penduduk atau 43.6% populasi sudah divaksin sebahagian dengan dos pertama mereka sementara 6.95 juta atau 21.3% divaksin sepenuhnya. – 2 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen