PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menuduh Rusia menjejaskan sekatan antarabangsa terhadap Korea Utara dan melemahkan usaha mengekang program senjata nuklear Kim Jong-un.
“Rusia tidak membantu kita langsung dengan Korea Utara,” kata Trump kepada agensi berita Reuters.
“Apa yang dibantu oleh China, sedang dijejaskan oleh Rusia.”
Bulan lepas, Trump menyelar Rusia kerana “tidak membantu” usaha global menekan Pyongyang agar menghentikan pembangunan senjata nuklearnya dan sistem penghantaran peluru berpandu balistik yang menambah ketegangan dengan Washington.
Trump menyalahkan siasatan berhubung campur tangan Rusia pada pilihan raya 2016 kerana menghalang hubungan rapat AS-Rusia - dengan itu mengehadkan pengaruhnya terhadap Presiden Vladimir Putin.
“Banyak yang boleh beliau lakukan,” kata Trump mengenai Putin. “Tetapi malangnya kita tidak mempunyai hubungan rapat dengan Rusia.”
Trump enggan menyatakan sama ada beliau ada berkomunikasi secara langsung melalui sebarang cara dengan Kim Jong-Un, yang mana dijadikan sasarannya beberapa bulan kebelakangan ini.
“Saya akan berbincang, tetapi saya tidak pasti jika ia akan menyelesaikan masalah ini,” katanya.
“Saya tidak pasti perbincangan akan membawa kepada sebarang perkara yang bermakna, mereka telah bercakap selama 25 tahun dan mengambil kesempatan daripada presiden kita, presiden kita yang terdahulu.”
Trump berkata beliau percaya rejim Korea Utara semakin hampir dapat menyerang AS dengan peluru berpandu nuklear balistik antara benua.
“Mereka belum lagi sampai ke peringkat itu, tetapi mereka semakin hampir dan semakin hampir setiap hari,” katanya.
Trump baru-baru ini memuji semula perbincangan antara Korea Utara dan Korea Selatan, dan memberi isyarat “keterbukaan” beliau bagi perbincangan AS dengan Korea Utara “pada situasi yang tepat.”
Kedua-dua negara Korea bersetuju pada Rabu berada di bawah satu panji pada upacara pembukaan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada Februari, sebagai petanda melegakan ketegangan di Semenanjung itu. – AFP, 18 Januari, 2018.
Komen