Kit Siang gesa KP kesihatan tunjuk bukti dakwaan varian Delta di Parlimen


Ravin Palanisamy

Polis membuat sekatan jalan raya bagi menghalang ahli Parlimen menghampiri dan seterusnya memasuki bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 2 Ogos, 2021.

KETUA pengarah kesihatan sepatutnya menyokong dakwaannya dengan bukti perubatan bahawa kes positif Covid-19 yang dikesan di Parlimen ada kaitan dengan varian Delta, kata Lim Kit Siang, hari ini.

Ahli Parlimen veteran itu menyifatkan kenyataan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai mesyuarat khas Parlimen yang berpotensi sebagai penyebar utama sebagai “amat dikesali” dan mempersoalkan apaka ia hanya untuk menakut-nakutkan anggota Parlimen.

Beliau mendesak ketua pengarah kesihatan membuktikan kenyataannya dengan fakta perubatan.

“Mana buktinya? Adakah ia hanya untuk menakut-nakutkan ahli Parlimen?

“Terdapat 11 kes daripada 1,183 kakitangan yang disaring. Jika kesemua 1,183 diuji, maka kadar positifnya adalah sekitar 1%, langsung tidak sampai kepada status ‘supersperader’.

“Justifikasi lain kemungkinan ‘superspreader’ adalah varian baharu. Adakah kajian genomik dilakukan? Jika ya, apa keputusannya?” soal ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi catatan Facebook malam tadi, Noor Hisham berkata empat sampel kes Covid-19 di Parlimen yang ditemui pada 29 Julai kemungkinan besar berkaitan varian Delta.

Noor Hisham juga mengumumkan Parlimen akan ditutup selama dua minggu mulai 29 Julai dan seterusnya.

Beliau berkata ia mengambil kira penilaian risiko semasa yang melibatkan perhimpunan ramai, yang menimbulkan risiko tinggi penularan Covid-19, terutama pada saat varian berbahaya seperti varian Delta - yang dikenali sebagai B.1.617.2 - menular dalam komuniti dan kes harian yang semakin teruk direkodkan di seluruh negara.

Pemimpin Pakatan Harapan bertindak balas dengan memberi amaran kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar tidak menggunakan agensi dan menteri, termasuk ketua pengarah kesihatan untuk menutup Parlimen dengan alasan wabak Covid-19.

Mereka juga mengingatkan Noor Hisham agar tidak membiarkan dirinya dimanipulasi oleh kerajaan kerajaan menghentikan persidangan Parlimen dengan sengaja.

Lim juga berkata Parlimen perlu diteruskan bagi ahli Parlimen yang sudah mendapat vaksinasi lengkap.

“Perdana menteri sudah menerima vaksin lengkap. Mengapa beliau tidak datang ke Parlimen untuk menjawab semua soalan yang diajukan oleh negara ini?” soalnya.

Awal pagi ini, ahli Parlimen pembangkang dilarang masuk ke Parlimen dan diugut akan ditangkap oleh polis yang melakukan sekatan jalan raya. – 2 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen