TENTERA dikerahkan melakukan rondaan dan kawalan di sepanjang jalan di Sydney mulai hari ini bagi penguatkuasaan perintah sekatan pergerakan terhadap penduduk di Brisbane, bandar ketiga terbesar di Australia yang dilanjutkan bagi mengekang penularan Covid-19.
Kira-kira 300 anggota Angkatan Pertahanan Australia (ADF) dihantar ke Sydney selepas polis New South Wales (NSW) meminta bantuan ketenteraan untuk menguatkuasakan peraturan Covid-19.
Pihak berkuasa berusaha menghentikan penularan varian Delta yang pantas menular di Sydney dan memastikan penduduk mematuhi arahan susulan lebih 3,600 kes direkodkan sejak pertengahan Jun.
“Pegawai polis akan dibantu anggota ADF ketika menghantar bungkusan makanan, melakukan kebajikan di rumah dan pemeriksaan pematuhan perintah duduk di rumah serta pengasingan diri,” kata Pesuruhjaya Polis NSW Mick Fuller.
Seramai 250 anggota keselamatan sebelum ini dikerahkan di hotel dan lapangan terbang di NSW. Lebih lima juta penduduk di bandar terbesar dan sekitar Australia kini memasuki minggu keenam penguatkuasaan perintah sekatan yang akan dilanjutkan sehingga akhir Ogos.
Penduduk hanya dibenarkan keluar rumah untuk bersenam, pekerjaan penting, alasan perubatan dan membeli keperluan seperti makanan.
Bagaimanapun ramai tidak mematuhi arahan, menyebabkan polis terpaksa mendenda mereka yang melanggar sekatan itu.
Sementara itu, jutaan penduduk Brisbane dan wilayah sekitarnya dikenakan perintah sekatan sehingga Ahad ini selepas 29 kes baharu dicatatkan.
Perintah duduk di rumah pula dijadualkan tamat esok.
Australia merekodkan lebih 34,000 kes dan 925 kematian setakat ini.
Dengan kira-kira 14% daripada 25 juta penduduk Australia menerima dua dos vaksin, pihak berkuasa bergantung kepada sekatan pergerakan bagi mengekang penularan jangkitan virus. – AFP, 2 Ogos, 2021.
Komen