SYARIKAT sidang video Zoom bersetuju menyelesaikan saman kerahsiaan tindakan Amerika Syarikat sebanyak AS$85 juta (RM358 juta), katanya hari ini.
Saman tersebut mendakwa perkongsian data peribadi pengguna dengan Facebook, Google dan LinkedIn oleh Zoom adalah pelanggaran kerahsiaan jutaan individu.
Walaupun Zoom menafikan melakukan kesalahan, pihaknya bersetuju meningkatkan amalan keselamatannya.
Penyelesaian itu perlu disetujui oleh Hakim Daerah AS Lucy Koh di San Jose, California.
Jurucakap Zoom memberitahu AFP: “Kerahsiaan dan keselamatan pengguna kami adalah keutamaan Zoom, dan kami memandang serius kepercayaan pengguna terhadap kami.
“Kami bangga dengan kemajuan platform kami, dan berharap dapat terus berinovasi dengan privasi dan keselamatan di barisan hadapan.”
Penyelesaian ini akan menubuhkan dana sebanyak AS$85 juta untuk membayar tuntutan yang sah, kos pemberitahuan dan pentadbiran, Pembayaran Perkhidmatan kepada Perwakilan Kelas, dan setiap pembiayaan peguam yang ditetapkan oleh mahkamah, menurut penyelesaian awal.
Semua ahli bagi setiap kelas layak mendapat pembayaran, katanya.
Mereka yang membayar akaun boleh menerima 15% daripada wang dibayar kepada Zoom untuk langganan utama pada masa itu atau AS$25, mana yang lebih besar; sementara mereka yang tidak membayar langganan boleh membuat tuntutan sebanyak AS$15.
Ketika wabak koronavirus memaksa pejabat ditutup kerana risiko kesihatan dan syarikat beralih kepada bekerja secara dalam talian, penggunaan platform video dan kolaborasi yang dihoskan oleh syarikat termasuk Zoom, Slack, Microsoft, dan Google melonjak.
Tetapi pertumbuhan pesat Zoom datang dengan tekanan untuk menangani keselamatan dan kerahsiaan ketika platform berdepan pemantauan rapat susulan penggunaan yang semakin meningkat. – AFP, 2 Ogos, 2021.
Komen