SEKURANG-KURANGNYA lima individu termasuk tiga anggota Hezbollah terbunuh dalam satu serangan di majlis pengebumian anggota parti itu di selatan Beirut, semalam.
Menurut sumber keselamatan Lubnan beberapa yang lain turut cedera dalam serangan tembakan di daerah Khalde antara anggota kumpulan Syiah Lubnan dan penduduk Sunni.
Hezbollah dalam satu kenyataan meminta pihak tentera dan pasukan keselamatan menahan mereka yang berada di belakang serangan itu.
Menurut sumber tentera pasukan keselamatan mengerahkan anggota ke kawasan berkenaan untuk bantuan dan tidak teragak-agak untuk melepaskan tembakan kepada mereka yang bersenjata di Khalde.
Walaupun terdapat amaran, tembakan rambang selama tiga jam berlaku sebaik saja kekacauan meletus menyebabkan beberapa mangsa cedera dan seorang parah.
“Dijangka jumlah yang cedera lebih tinggi kerana kebanyakannya dibawa dengan kereta persendirian memandangkan pasukan Palang Merah tidak dapat masuk ke lokasi kejadian,” kata jurucakap Palang Merah.
Ketegangan antara Sunni dan Syiah kerap berlaku ketika Lubnan berdepan krisis ekonomi yang digambarkan oleh Bank Dunia sebagai antara paling teruk di dunia sejak pertengahan abad ke-19. –AFP, 2 Ogos, 2021.
Komen