AMERIKA Syarikat (AS) mungkin tidak akan melaksanakan semula perintah sekatan pergerakan walaupun berlaku lonjakan kes Covid-19 berpunca daripada varian Delta.
Saintis terkemuka AS Dr Anthony Fauci berkata AS sedang menderita tetapi dengan jumlah mencukupi penduduk yang divaksin, sekurang-kurangnya ia dapat mencegah jumlah kematian seperti pada musim sejuk lalu.
“Saya tidak fikir kita akan berdepan semula dengan perintah sekatan,” katanya selepas Presiden AS Joe Biden minggu ini berkata AS mungkin melaksanakan sekatan baharu disebabkan varian Delta.
Sementara itu, di negara lain termasuk China dan Australia, perintah sekatan kembali dilaksanakan hanya selepas seketika menikmati kehidupan normal.
Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS sebelum ini meminta individu yang lengkap divaksin memakai pelitup muka di kawasan berisiko tinggi di negara itu.
Pihak berkuasa kesihatan AS berkata penularan varian Delta sama seperti cacar air dan lebih kritikal kerana dapat menyerang individu yang sudah menerima vaksin.
Perubahan dasar pemakaian pelitup muka ini dilakukan selepas Biden meramalkan kebebasan pada musim panas jika semua penduduk sudah divaksin. Ia mencetuskan kebimbangan mengenai keyakinan terhadap vaksin.
Dr Fauci berkata mereka yang sudah divaksin mempunyai risiko jangkitan dan kemasukan ke hospital yang sangat rendah, begitu juga dengan kematian.
“Kami melihat wabak ini kepada mereka yang tidak divaksin,” katanya.
Pengarah Institut Kesihatan Nasional Francis Collins berkata beliau bimbang jika orang ramai tersalah faham berkenaan keberkesanan vaksin disebabkan arahan pemakaian pelitup muka itu.
“Jika anda sudah divaksin, kemungkinan anda jatuh sakit berkurangan sebanyak 25 kali ganda.” – AFP, 2 Ogos, 2021.
Komen