Kemboja mula program vaksin Covid-19 remaja 12 hingga 17 tahun


Kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun mula diberikan vaksin Covid-19 di Phnom Penh dan disusuli wilayah yang teruk terkesan iaitu Kandal, Koh Kong dan Preah Sihanouk. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2021.

KEMBOJA memulakan pelaksanaan memberi vaksin Covid-19 kepada golongan remaja di Phnom Penh dan tiga wilayah lain hari ini, dengan cucu Perdana Menteri Hun Sen antara penerima terawal.

Beberapa negara Asia Tenggara sedang berdepan lonjakan semula kes Covid-19 akibat varian Delta yang berjangkit dengan pantas dan bakal menggugat kejayaan rantau itu mengawal pandemik berkenaan tahun lalu.

Walaupun Kemboja dilihat berjaya mengatasi virus itu tahun lalu, penularan semula yang pertama kali dikesan pada Februari lalu terus meningkat kepada hampir 78,000 kes.

Semalam, negara itu mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun, bermula di Phnom Penh dan disusuli wilayah yang teruk terkesan iaitu Kandal, Koh Kong dan Preah Sihanouk.

Hun Sen menyifatkan imunisasi untuk kanak-kanak sebagai langkah penting untuk mewujudkan imuniti kelompok dalam masyarakat.

“Kanak-kanak ibarat pucuk rebung. Jika kesihatan kanak-kanak terjejas sekarang, kita tidak akan memiliki buluh yang baik,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau doktor memberikan suntikan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac kepada cucunya.

Hun Sen berkata dua juta remaja dijangka menerima vaksin Covid-19 dan negara itu dan kerajaan turut mempertimbangkan memberikan vaksin kepada kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun.

Beberapa negara Eropah seperti Denmark, Perancis dan Lithuania sudah memulakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak bagi mempercepatkan pembentukan imuniti kelompok.

Vaksinasi Covid-19 besar-besaran di Kemboja menyaksikan lebih tujuh daripada 10 juta penduduk sudah menerima suntikan vaksin AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Sinovac dan Sinopharm.

Hun Sen berkata pihak berkuasa juga akan mula memberikan suntikan penggalak kepada golongan dewasa yang sudah menerima suntikan dos lengkap vaksin tidak lama lagi, selain mencontohi Thailand dengan menggunakan campuran vaksin berbeza.

Perdana menteri itu menerima dua dos vaksin AstraZeneca, dan mahu mendapatkan vaksin Sinovac untuk suntikan dos penggalak. – AFP, 2 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen