Kerajaan gagal urus darurat dengan baik, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pengisytiharan darurat yang dilaksanakan lebih kepada alasan politik berbanding menguruskan pandemik, kata Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos 2021.

KESILAPAN kerajaan dalam menguruskan darurat selain enggan mendengar nasihat pakar adalah antara sebab mengapa kes jangkitan dan kematian Covid-19 terus meningkat, kata pakar kesihatan dan politik.

Mereka berkata mempergunakan darurat bagi tujuan politik mengakibatkan kegagalan dalam menangani matlamat utama mengawal dan menguruskan pandemik Covid-19.

Jumlah kes di negara ini meningkat sebanyak lapan kali ganda sejak 11 Januari lalu ketika darurat diisytiharkan. Ia seterusnya menjadikan jumlah kes secara kumulatif kepada 138,224.

Bagaimanapun, jumlahnya meningkat kepada 1.13 juta sehingga hari terakhir darurat, semalam. Pada masa yang sama, lebih 8.000 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini.

Mereka turut menyalahkan kerajaan kerana tidak mendengarkan cadangan pakar luar untuk menangani wabak tersebut.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, nampaknya pengisytiharan darurat yang dilaksanakan lebih kepada alasan politik semata-mata berbanding menguruskan pandemik.

Malah, ahli Parlimen Gopeng itu berkata jumlah kes harian yang berada dalam lingkungan 2,000-3,000 awal tahun ini melonjak kepada 16,000-17,000 selepas tujuh bulan darurat.

Beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu adalah “kejayaan besar” tanpa darurat.

“Darurat gagal dalam membendung Covid-19. Secara politiknya pula ia gagal memastikan kestabilan politik dan pada masa yang sama juga mencetuskan krisis Perlembagaan.

“Ini adalah kegagalan dalam kepemimpinan,” katanya.

Katanya, pengisytiharan darurat memberi kuasa kepada perdana menteri untuk melakukan apa saja yang dapat dilakukannya bagi meguruskan Covid-19.

“Ini termasuk mengarahkan pasukan pertahanan, kemudahan swasta dan jabatan kerajaan lain untuk membantu memerangi Covid-19.

“Beliau tidak melakukan apa-apa kecuali meningkatkan hukuman denda atas pelanggaran SOP dan menghabiskan duit tanpa pengawasan Parlimen,” kata ahli Parlimen PKR itu.

 

Sementara itu, pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damansara Dr Musa Nordin berkata situasi Covid-19 semakin teruk selepas tujuh bulan.

Beliau berkata ia berdasarkan kepada peningkatan jumlah kes dan kematian.

“Kerajaan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan kementerian serta agensi lain gagal membendung dan mengawal pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata negara yang teruk terjejas pada suku pertama 2021, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom berjaya mengurangkan kesan kematian pandemik Covid-19.

Katanya, kegagalan meratakan lengkuk pandemik membawa kepada keruntuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Pusat Penilaian Covid dibanjiri ribuan pesakit. Katil di pusat kuarantin berisiko rendah dan ICU penuh sesak, dengan tidak ada lagi kekosongan di hospital awam dan swasta,” katanya.

Dr Musa turut menyalahkan kegagalan kerajaan untuk membabitkan pakar luar dalam mengendalikan pandemik.

“Melihat kembali, sedih kerana malapetaka kesihatan dan ekonomi ini sepatutnya boleh dielak jika kerajaan dan KKM mempertimbangkan cadangan banyak pihak, termasuk Kumpulan Pakar Penasihat (EAG) dan penasihat kesihatan dari luar kementerian.

“Tidak mengapalah lambat daripada tidak buat langsung, banyak cadangan kini dimasukkan ke dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – 2 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen