Ketua Pemuda MCA Perak desak Muhyiddin letak jawatan 


Ketua Pemuda MCA Perak Daniel Wa Wai How berkata individu yang lebih layak perlu mengambil alih daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mentadbir kerajaan.– Gambar Facebook, 1 Ogos, 2021.

KETUA Pemuda MCA Perak mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas gagal menguruskan pandemik Covid-19.

Tidak sehaluan dengan pendirian parti, Daniel Wa Wai How dilaporkan Sinar Harian sebagai berkata individu yang lebih layak perlu mengambil alih daripada Muhyiddin untuk mentadbir kerajaan.

“Bagi saya secara peribadi, perdana menteri yang ada patut berundur secara terhormat supaya kerajaan dapat diganti dengan seorang perdana menteri yang baharu.

“Perdana menteri yang baharu itu perlu ditetapkan tempoh jawatan beliau iaitu selama enam bulan bagi meneruskan program pemberian vaksin kepada semua rakyat Malaysia dan membuat penyusunan pentadbiran menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” beliau dipetik sebagai berkata.

Wa yang juga setiausaha Pemuda MCA Kebangsaan berkata Muhyiddin perlu sedar mengenai kegagalan pentadbirannya mengekang penularan koronavirus dengan jumlah kes baharu terus meningkat walaupun rakyat diminta berkurung di rumah sejak beberapa bulan lalu.

Beliau juga berkata kerajaan juga membenarkan kilang untuk terus beroperasi walaupun wujud kluster.

Wa berkata demikian sehari selepas MCA dan MIC menandatangani satu kenyataan Perikatan Nasional yang menyatakan sokongannya kepada Muhyiddin dan pemimpin parti akan menjalankan tugas mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua penerangan MCA Chan Quin Er dan ketua penerangan MIC V Gunalan. Bagaimanapun ketua penerangan Umno Shahril Hamdan tidak menandatangani kenyataan itu. – 1 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen