Polis patut kompaun peserta, penganjur #Lawan, kata G57


Peserta perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' dikhuatiri tidak melakukan ujian calitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

GERAKAN Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap peserta dan penganjur perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ dengan mengenakan kompaun terhadap mereka. 

Pengerusi Penaja G57 Zulkarnain Mahdar berkata, perhimpunan itu jelas diadakan tanpa permit yang sah dan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sehingga boleh menyebabkan Covid-19 merebak dalam kalangan peserta perhimpunan. 

Beliau turut mempersoal sama ada peserta perhimpunan melakukan ujian calitan dan memastikan semua yang menyertai adalah negatif Covid-19. 

“Layanan istimewa tidak seharusnya diberikan kepada peserta demonstrasi ini apabila dalam masa yang sama, kompaun dikenakan ke atas beberapa individu yang melanggar SOP kerana hadir menunaikan solat di pekarangan surau semasa Aidiladha baru-baru ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Zulkarnain berkata, pihaknya kesal dengan sikap pemimpin parti pembangkang yang tidak berusaha membatalkan perhimpunan itu malah turut hadir menyertainya.

“Membabitkan orang ramai untuk turun ke jalanan adalah jelas satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab kerana sekiranya ada peserta yang positif  Covid-19,  mereka akan kembali ke rumah masing-masing dan berpotensi tinggi menjangkiti keluarga serta rakan,” katanya.

Beliau berkata, jika keadaan itu terjadi, ia satu musibah besar yang menyaksikan beban dan tanggungjawab petugas barisan hadapan semakin bertambah dalam usaha menangani kes Covid-19 yang tinggi saban hari. – Bernama, 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen