20 rumah musnah dalam kebakaran hutan Greece 


HAMPIR 300 anggita bomba, dua pesawat pemadam dan lima helikopter dikerahkan untuk memadamkan kebakaran hutan di Greece yang  setakat ini memusnahkan 20 buah rumah dan menyebabkan lapan orang cedera, kata pihak berkuasa.

Lima perkampungan dikosongkan dan lapan penduduk dirawat kerana melecur dan mengalami masalah pernafasan sejak kebakaran mula tercetus Sabtu lalu berhampiran Patra di Peloponnese, 210 kilometer dari Athens, kata perkhidmatan bomba. 

Lebuh raya di wilayah terbabit turut ditutup bersama jambatan Rio-Antirrio yan merentasi Teluk Corinth yang menghubungkan Peloponnese dengan tanah besar Greece, lapor agensi berita ANA. 

Hospital di Patra dan bandar Aigio berhampiran turut diberi notis untuk menerima penduduk yang cedera, manakala pengawal pantai turut bersedia untuk menjalankan operasi menyelamat. 

Menurut agensi pertahanan awam, 58 kes kebakaran hutan dilaporkan sejak 24 jam lalu, namun ia dapat dikawal.

Greece berdepan kebakaran hutan setiap musimpanas, namun pakar memberi amaran pemanasan global akan meningkatkan kejadian itu. – AFP, 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen