Pilihan raya baharu Myanmar dalam tempoh dua tahun, kata ketua junta


Pemimpin junta Myanmar Min Aung Hlaing mengumumkan pilihan raya Myanmar akan diadakan dan perintah darurat dibatalkan pada Ogos 2023.– Gambar EPA, 1 Ogos, 2021.

KETUA junta Myanmar berkata pilihan raya akan diadakan dan perintah darurat dibatalkan pada Ogos 2023.

Negara berkenaan bergolak sejak tentera menjatuhkan kerajaan Aung San Suu Kyi pada Februari dan melancarkan tindakan keras yang menyebabkan lebih 900 orang terbunuh. 

Dalam perutusan yang disiarakan di televisyen, pemimpin junta Min Aung Hlaing berkata, “kita akan memenuhi peruntukan darurat menjelang Ogos 2023.

“Saya berikrar akan mengadakan pilihan raya tanpa gagal,” tambahnya.

Pengumuman itu akan menjadikan Myanmar di bawah penguasaan tentera hampir dua tahun setengah, berbanding tempoh masa setahun yang diumumkan junta beberapa hari selepas menggulingkan kerajaan. 

Alasan yang diberikan pihak tentera untuk menjatuhkan kerajaan kerana penipuan besar-besaran pilihan raya 2020 yang dimenangi parti Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi.

Malah pihak tentera turut mengancam untuk membubarkan parti itu. 

Minggu lalu pihak junta membatalkan semua keputusan pilihan raya dan mengumumkan pihaknya mengesan lebih 11 juta penipuan pengundi. 

Suu Kyi ditahan sejak 1 Februari dan berdepan beberapa pertuduhan jenayah - daripada melanggar sekatan koronavirus hingga mengimport walkie talkie secara haram, yang boleh menyebabkan pemimpin itu dipenjara lebih 10 tahun. – AFP, 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen