40 ahli Parlimen BN sokong kerajaan, ulang Ismail Sabri


Ismail Sabri Yaakob mengesahkan 40 ahli Parlimen BN menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

TIMBALAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi kenyataannya bahawa 40 ahli Parlimen Barisan Nasional sebulat suara menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, kandungan kenyataan yang beliau buat pertama kali Khamis lalu tidak salah sebaliknya yang dipersoalkan hanya penggunaan kepala surat BN.

“Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

“Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia di Bera.

Jelas Ismail, mereka menggunakan kepala surat BN kerana mereka ahli Parlimen BN.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata isu sokongan mereka tidak sepatutnya timbul kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga membenarkan mereka menggunakan budi bicara untuk menentukan sokongan di Parlimen.

“Soal tarik sokongan tidak timbul, ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan, kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap perdana menteri,” katanya.

Ahli Parlimen BN dari Umno masih menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

Umno mempunyai 38 kerusi di Dewan Rakyat sementara empat lagi terdiri daripada 2 wakil MCA dan masing-masing 1 wakil MIC dan PBRS.

Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan yang dipertikaikan itu lewat petang Khamis, selepas kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dilihat bertembung pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai cara pemansuhan ordinan darurat.

Kenyataan itu menggunakan kepala surat rasmi BN dan dikeluarkan selepas Ismail Sabri mempengerusikan satu perjumpaan bersama 40 ahli Parlimen BN.

Tidak berapa lama selepas kenyataan itu dikeluarkan, ibu pejabat BN menafikannya.

Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Shafri Ab Aziz berkata kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan oleh pengerusi atau setiausaha agung BN dan melalui saluran rasmi parti.

Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen BN mengesahkan perjumpaan yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri dan kenyataan yang dikeluarkan selepas itu.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata perjumpaan berlangsung di tingkat 3 bangunan baharu Parlimen pada 5.30 petang Khamis.

“Saya mengesahkan kenyataan YAB TPM, yang dikeluarkan selepas pertemuan 40 orang MP BN (termasuk 5 orang yang telah memberi mandat walau tak dapat hadir kerana di luar negara/kuarantin/uzur) adalah benar dan tulin,” tulisnya di Facebook, lewat Khamis malam.

Menurut laporan, Najib Razak masih menyokong Perikatan Nasional cuma tidak mahu ia dipimpin Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz juga kemudian dipetik berkata hanya Ahli Parlimen Bagan Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak setuju dengan keputusan itu.

“Saya mengesahkan pertemuan 40 ahli Parlimen BN itu adalah benar-benar berlaku,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Nazri berkata antara 40 ahli Parlimen BN itu termasuk bekas perdana menteri Najib Razak (Pekan), setiausaha agung BN Ahmad Maslan (Pontian) dan Ahmad Jazlan Yaakob (Machang).

“Najib sememangnya menyokong kerajaan PN, bagaimanapun beliau meminta Muhyiddin meletakkan jawatan perdana menteri,” tambahnya.

Pada Isnin, Tengku Razaleigh memohon kepada Yang diPertua Dewan Rakyat untuk menukar tempat duduknya lebih dekat dengan blok wakil rakyat bebas kerana beliau tidak menyokong kerajaan Muhyiddin. – 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen