BINTANG pop terkenal warga China-Kanada Kris Wu telah ditahan kerana disyaki merogol, kata polis Beijing pada Sabtu.
Wu dituduh merogol minggu lepas oleh pelajar berusia 19 tahun Du Meizhu ketika gadis itu berusia 17 tahun, mencetuskan kecaman hebat terhadap penyanyi di media sosial China sehingga menyebabkan beberapa jenama terkemuka membatalkan penajaan mereka.
“Wu Yifan, 30, warga Kanada, kini ditahan menurut undang-undang Biro Keselamatan Awam Beijing cawangan Chaoyang kerana disyaki merogol,” kata cawangan itu dalam satu kenyataan di Wiebo.
Pegawai berkata mereka melancarkan siasatan selepas Wu, salah seorang selebriti terkemuka China, dilaporkan ramai pengguna internet “banyak kali memperdaya wanita muda untuk menjalinkan hubungan seksual.”
Skandal itu menghidupkan kembali gerakan #MeToo yang dicetuskan feminis China pada 2018, apabila wanita berkongsi pengalaman gangguan seksual berlaku ke atas mereka, ada kes melibatkan tokoh terkemuka.
Wu mula dikenali ramai sebagai ahli kumpulan muzik Korea terkenal EXO, sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 2014 untuk menjadi penyanyi solo, pelakon, model dan juri rancangan realiti.
Sejak tuduhan dibuat Du, lebih ramai mangsa tampil bersuara dalam talian, menuduh kakitangan Wu berkelakuan tidak senonoh seperti menjemput mereka ke parti arak.
Jenama terkemuka dunia termasuk Louis Vuitton, Bulgari, L’Oreal Men dan Porsche minggu lepas menggantung penajaan mereka dengan Wu kerana skandal itu.
Bintang itu yang juga memegang kewarganegaraan Kanada dan membesar di Vancouver dan Guangzhou menafikan semua dakwaan dan menegaskan beliau tidak bersalah dalam pelbagai kenyataan dikeluarkan di media sosial.
“Saya hanya berjumpa Cik Du hanya sekali pada majlis anjuran rakan, saya tidak memperdayanya menggunakan arak..saya tidak pernah ‘memaksa wanita melakukan seks’ atau terlibat dalam ‘rogol temu janji’,” tulisnya pada 19 Julai, menambah yang beliau tidak tidur dengan gadis bawah umur.
Syarikat Wu juga menerbitkan penjelasan panjang lebar menjawab tuduhan Du, menafikan sebarang salah laku dan mendakwa gadis itu hanya bertemu Wu hanya sekali, dan cuba memeras ugus duit daripada penyanyi itu serta membuat tuduhan palsu.
Peguam Wu sudah memfailkan saman fitnah terhadap Du. Gadis itu juga sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi itu.
Du mendakwa bintang itu cuba mendiamkannya dengan menawarkan duit berjumlah 500,000 RMB (AS$77,100). – AFP,1 Ogos, 2021.
Komen