Kapal tangki Israel diserang, AS bantu siasat


MT Mercer Street diserang pada Khamis di pesisir pantai Oman, dan Israel menyalahkan serangan itu kepada musuh ketatnya, Iran. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2021.

AMERIKA Syarikat akan membantu menyiasat serangan maut ke atas tangki minyak yang diuruskan seorang hartawan terkenal Israel, kata Jabatan Negara pada Sabtu.

MT Mercer Street diserang pada Khamis di pesisir pantai Oman, dan Israel menyalahkan serangan itu kepada musuh ketatnya, Iran.

Dua anak kapal terbunuh dalam serangan itu yang disifatkan tentera AS dan pengendali tangki sebagai serangan dron.

Tentera laut AS juga memberikan bantuan kepada kapal itu selepas serangan.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken bercakap dengan rakan sejawatnya dari Israel Yair Lapid dan kedua-dua mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan sekutu lain “bagi menyiasat fakta, memberikan sokongan dan mempertimbangkan langkah wajar seterusnya,” menurut kenyataan Jabatan Negara.

Pengendali kapal, Zodiac Maritime, dimiliki hartawan Israel Eyal Ofer, berkata seorang pengawal keselamatan warga Britain dan anak kapal warga Romania terbunuh dalam serangan itu.

Pada Jumaat, Lapid berkata beliau sudah mengarahkan diplomat negaranya untuk mendesak PBB mengenakan sekatan terhadap “keganasan Iran”.

“Saya sudah mengarahkan kedutaan di Washington, London dan PBB untuk bekerjasama dengan orang hubungan mereka dalam kerajaan dan delegasi berkaitan di ibu pejabat PBB di New York,” kata Lapid di Twitter.

Penganalisis berkata serangan yang berlaku mempunyai petunjuk jelas “perang dingin” antara dua kuasa besar Timur Tengah itu, dengan kapal tangki milik kedua-dua negara menjadi sasaran serangan di perairan Teluk. – AFP,1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen