Realiti jalanan dan RM50 ubah dunia 


Zainal Rashid Ahmad

PADA awal 1990an, masyarakat kutu rayau (istilah pada zaman itu) dilayan sebagai warga jalanan yang terabai. 

Stigma penagih dadah, pelacur dan kutu-rayau perlu dijauhi sangat menebal. Apa saja jenayah jalanan termasuk pencopet dan pecah kereta akan dikaitkan dengan kutu rayau. 

Waktu dekad 80an, tiada istilah memberikan bantuan kepada kutu-rayau. Istilah yang kemudian diubah pada abad ke-21 menjadi gelandangan. Waktu itu belum muncul aktivis yang mampu menyediakan makanan. 

Hanya sekitar tahun 2000, muncul Projek Food Not Bomb pada setiap pagi Ahad di pedestrian Gereja St John, Jalan Bukit Nanas. 

Budak punk menyediakan nasi lemak atau nasi goreng kepada gelandangan. Manakala, aktivis Kristian menyediakan dua keping roti dan telur rebus. 

Selepas itu, pada tahun 2000an, muncul lebih banyak NGO membantu masyarakat jalanan. Perkataan kutu rayau sudah dilupakan. Istilah gelandangan digunakan secara meluas. 

Gelandangan bukan lagi stigma khusus pada penagih dadah. Malah, diubah takrifannya dengan merujuk pada ribuan manusia yang hidup tanpa rumah dan tidur di jalanan. 

Pada awal 2000an, majoriti gelandangan masih penagih dadah, bekas pelacur, pondan tua dan musafir dari luar kota yang gagal mendapat kerja. 

Begitulah sketsa ringkas mengenai kutu-rayau @ gelandangan dan munculnya aktivis jalanan. Sejak era “Bapa Punk Malaysia” pimpinan Brader Ibrahim sampailah ke era anak-anak orang kaya Damansara/Ampang yang turun menjalankan aktiviti kemanusiaan. 

Pada sekitar tahun 2010, wujud usaha menyantuni “rakan jalanan”. Istilah baharu untuk gelandangan. Namun, penggunaannya gagal popular. 

Sebagai wartawan, sejak 1994 – saya melihat tiga generasi aktivis muncul di jalanan. 

Asal mula budak punk, kemudian ke NGO yang formal hingga berkembang dengan wujudnya pelbagai agensi kerajaan yang turut mengubah persepsi terhadap manusia jalanan. 

Misi mereka sama: “Mahu membantu gelandangan”. 

Tiada “brainwash” 

Sejak era Food Not Bomb sampailah ke era anak orang kaya Damansara dan Ampang, tidak pernah ada sesi “brainwash”. Tidak sempat mengatur sesi motivasi di jalanan. 

Aktivis lebih prihatin soal kelaparan, kesihatan, kanak-kanak dan bayi, warga tua dan ibu-ibu yang hidup bersama bayi kecil di celah-celah bangunan. 

Kesesakan ekonomi yang mencerut gelandangan dan kes pesakit mental yang berkeliaran di jalanan lebih membimbangkan berbanding memberikan ceramah murahan. 

Ketika puluhan kanak-kanak mula muncul mencari makanan pada tahun 2014, ia lebih membimbangkan aktivis jalanan. Apa lagi, kanak-kanak ini ialah anak warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dihantar ibu bapa untuk mengemis makanan. 

Aktivis lebih risau pada krisis miskin bandar yang melanda 67 ribu isu rumah PPR sekitar ibu kota. 

Isu ini bukan perlukan gelandangan diberikan motivasi. Namun, berjuang menyedarkan kerajaan bahawa kelaparan kini mengcengkam keluarga miskin bandar. 

Justeru, motivasi menyalahkan gelandangan atau miskin bandar kerana masa lalu yang dipenuhi sikap “malas” tidak relevan sekiranya kita melihat isu ini dalam perspektif “real crisis”. 

Tak masuk akal untuk mengkritik kehidupan gelandangan dengan ideologi: “Kekayaan dan kejayaan kita adalah bukti kegagalan mereka.” 

Kayu ukur bagi penagih dadah, bekas pekerja seks, pesakit mental, migran berkeluarga yang gagal mendapat kerja, gelandangan musafir yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan rentak KL tidak sama dengan pencapaian jutawan muda. 

Warga emas yang ketiadaan potensi mendapatkan kerja kerana faktor kesihatan dan usia - tentulah berbeza tahap keupayaan dan skil kehidupan berbanding anak muda korporat yang berasa “kaya-raya”. 

Warga tua yang melarat di jalanan, majoritinya kerana ketiadaan simpanan atau tersisih akibat krisis keluarga. 

Bekas pelacur/pondan yang berusia pula terpaksa hidup melarat di jalanan kerana tidak diterima keluarga akibat sejarah hidup dan masa lalu mereka. 

Penagih tegar kalau hendak dibantu memerlukan lebih sokongan moral dan bukan “overdose” dengan ceramah. 

Kejayaan dan kekayaan kita takkan  mengubah realiti kalau dijadikan alat bandingan rambang dengan kehidupan daif gelandangan. 

Istilah: “Saya kaya ketika masih muda serta anda miskin sekali pun sudah tua” – tidak masuk akal dijadikan kayu ukur. 

Tiga dekad melihat gelandangan 

Saya pernah sesekali dipanggil memberikan ceramah motivasi, termasuk di Rumah Transit Gelandangan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. 

Tiap kali menyampaikan perkongsian, seruan utama saya ialah “masyarakat yang perlu berubah dalam usaha membantu gelandangan”. 

Saya hanya menyampaikan ceramah kepada anak muda yang mahu memulakan aktiviti kerja amal di jalanan. 

Malah, ketika sesi tertutup pada Disember 2019, hujah yang sama dilontarkan kepada YB Menteri dan 250 pembuat dasar kerajaan. 

Berdasarkan pengalaman melihat krisis jalanan selama lebih tiga dekad, pendirian saya tetap sama: “Kalau kerajaan mahukan perubahan, ubah dulu dasar terhadap miskin bandar dan gelandangan!” 

Tips kepada jutawan muda 

Kalau mahukan gelandangan bekerja, beranikah anda sendiri mengambil mereka sebagai pekerja? Atau, anda memulakan proses A ke Z hingga mereka diterima bekerja? 

Kalau mahu gelandangan berniaga, sanggupkan anda memodalkan usaha bisnes untuk mengubah kehidupan mereka. 

Biasanya aktivis jalanan tidak mampu melaksanakan misi besar ke tahap mengubah realiti miskin bandar. Senario ini memerlukan jalur kerja yang luas serta sokongan dasar kerajaan dan respons sektor swasta. 

Apa pun, aktivis jalanan tetap meneruskan usaha yang termampu. Biasanya, melaksanakan program Ziarah Jalanan atau Bantuan Makanan. 

Alhamdulillah, ribuan aktivis termasuk yang tampil secara gerila dengan memberikan bantuan makanan, pakaian dan sedikit kawangan sekadar mampu. 

Jadi, kalau kita setakat bebelkan “air liur” dan menjadikan “reputasi kekayaan dan kejayaan” sebagai modal, jangan haraplah “lagak kita boleh mengubah dunia!” 

Projek jangka panjang 

Gerakan Iqra memulakan usaha mengadakan kelas membaca Al Quran di kaki lima berdekatan kawasan pelacuran. 

Suasana pembelajaran ini nampak daif dan sedih. Namun, ia tetap dijalankan demi menyebarkan Kalam Allah. Tikar dihampar di tepi pedestrian dan projek ini dicerahi lampu jalanan di Belakang Mati. 

Kelas Iqra diadakan bagi membantu anak-anak jalanan (anak pelacur, anak pelarian dan anak gelandangan) mendapat akses “celik al Quran”. 

Yayasan Salam menyediakan kuliah Asar/Maghrib yang dihadiri pelacur dan pondan. Biasanya kelas Fardu Ain dengan fokus membaiki ibadah solat. 

Walaupun selepas kelas, majoriti pelacur dan pondan akan kembali lorong gelap dan melacur mencari pendapatan. 

Namun, usaha dakwah ini istiqamah sejak 2002: “Dakwah dengan ilmu tugas kita, hidayah di tangan Allah.” 

Aktivis Projek Buku pula menyediakan ruang pembelajaran kepada anak-anak pelacur, pelarian dan gelandangan untuk peluasan akses membaca dan bimbingan pendidikan. 

Projek ini dijalankan di premis Belakang Mati. Ribuan buku disediakan. Puluhan aktivis muda bertindak sebagai tenaga pengajar tanpa sesen pun ganjaran. 

Semua projek ini dilaksanakan secara jangka panjang dan menelan biaya puluhan ke ratusan ribu ringgit setahun. 

Kalau anda kaya 

Kalau kaya: Letakkan projek jangka panjang. 

Paling tidak usahawan dan jutawan muda yang kaya-raya boleh sediakan: “Projek Target 10 Anak Gelandangan Masuk Universiti Setiap Tahun”. 

Projek ini akan mencabar skil dan kecekapan “jutawan muda” dalam mengurus cabaran mengubah krisis kemiskinan di negara kita. 

Kalau berjaya, barulah padan dan boleh dijadikan kayu ukur. Apakah kejayaan anda menjadi jutawan mampu dimanfaatkan kepada perubahan hidup  gelandangan? 

Laburkan wang anda bagi projek yang sistematis. Jangan sekali datang dan “sembang kencang!” 

Ceramah motivasi ala-ala RM50 untuk upah pengakuan menyesal tidak akan mengubah apa-apa. 

Kemiskinan bukan publisiti sensasi

Aktivis kemanusiaan yang lebih tiga dekad berada di jalanan, majoritinya sudah lama percaya: “Kalau mahu mengubah gelandangan, berjuanglah dengan projek jangka panjang.” 

Dunia jalanan bukan mekanisme bisnes jutawan muda yang percaya: “Kalau mau bikin duit jota-jota - ikutilah ceramah motivasi bisnes!” 

Bayar saja caj penyertaan sekian RM riban-riban; anak muda yang minat berbisnes mampu sekelip mata berjaya dan mampu bikin wang berkoyan-koyan! 

Saya fikir, Jeff Bezos, Bill Gates dan Syed Mokhtar Al Bukhari pun bersetuju: “Sangat tidak cerdik kalau mahu menyamakan kekayaan kita dengan nasib gelandangan”. – 1 Ogos, 2021.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen