PASUKAN tentera Amerika Syarikat (AS) akan kekal berada di Syria untuk memerangi kumpulan militan dan mengambil alih kuasa pemerintahan Presiden Bashar al-Assad serta rakan sekutunya, Iran.
Setiausaha Negara AS Rex Tillerson berkata AS memiliki strategi untuk membantu mengakhiri kemelut perang saudara selama tujuh tahun di Syria.
Sebahagian besar daripada misi itu ialah menghapuskan kewujudan militan IS dan menyekat mereka dari kembali ke negara berkenaan.
Tillerson bagaimanapun berkata usaha memerangi IS bagi memastikan Syria stabil untuk membantu melicinkan proses pengambilalihan kuasa dari Assad dan seterusnya menyingkirkan pengaruh Iran.
“Pengunduran sepenuhnya pasukan tentera AS dari Syria hanya akan membolehkan Assad terus bertindak kejam ke atas rakyatnya.
“Individu yang membunuh rakyatnya sendiri tidak akan mampu mendapat kepercayaan orang ramai bagi mewujudkan kestabilan jangka panjang,” katanya ketika berucap di Universiti Stanford di Washington.
Beliau berkata kestabilan dan keamanan di Syria hanya akan dapat diwujudkan jika Assad tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.
AS sehingga kini menghantar kira-kira 2,000 anggota tentera darat dan pasukan udara ke timur Syria bagi memburu saki baki militan IS. – AFP, 18 Januari, 2018.
Komen