NHS beri amaran bacaan oximeter kurang tepat bagi berkulit gelap,


Oximeter digunakan untuk mengukur tahap oksigen dalam darah. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2021.

PERKHIDMATAN kesihatan kerajaan Britain memberi amaran pada Sabtu bahawa alat digunakan untuk memantau tahap oksigen darah pesakit Covid-19 di rumah mungkin memberikan bacaan kurang tepat bagi mereka yang berkulit lebih gelap.

Amaran berkenaan berkait oximeter, digunakan oleh mereka yang berisiko mengalami gejala Covid-19 teruk untuk memeriksa tahap oksigen dalam darah. Di bawah bacaan tertentu, mereka perlu dimasukkan ke hospital.

NHS, perkhidmatan kesihatan yang dibiayai kerajaan UK, membekalkannya kepada mereka yang mempunyai gejala virus, berusia lebih 65 tahun atau rentan secara klinikal.

NHS berkata dalam satu kenyataan terdapat laporan yang bacaan oximeter kurang tepat bagi mereka berkulit lebih gelap kerana mungkin menunjukkan bacaan tahap oksigen dalam darah yang lebih tinggi.

Peranti yang digunakan di jari, mengeluarkan cahaya melalui kulit seseorang untuk mengukur tahap oksigen dalam darah.

Panduan yang dikemas kini untuk penghidap virus di laman web utama NHS kini memberi amaran: “Terdapat beberapa laporan yang mungkin kurang tepat jika anda mempunyai kulit coklat atau gelap.

“Ia mungkin menunjukkan bacaan lebih tinggi berbanding tahap oksigen dalam darah anda.”

Tetapi yang penting adalah memeriksa secara berkala sama ada untuk melihat sama ada ia akan turun, tambahnya.

Habib Naqvi, pengarah NHS Race and Health Observatory berkata masalah itu mempengaruhi “komuniti Asia yang pelbagai dan berkulit gelap”.

Keturunan etnik minoriti, terutama Afrika berkulit hitam dan Bangladesh, berdepan angka kematian tertinggi akibat virus di Britain.

Angka kematian akibat Covid-19 di United Kingdom adalah 129,583 pada Sabtu, antara yang tertinggi di dunia. – AFP, 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen