CITF senaraikan PPV untuk vaksinasi secara jumpa terus


Ragananthini Vethasalam

Bermula 2 Ogos ini, individu yang belum dapat tarikh janji temu vaksinasi mereka boleh mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus di beberapa PPV yang disenaraikan pihak CITF. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.

PENDUDUK yang menetap di Lembah Klang dan belum dapat tarikh janji temu vaksinasi boleh terus ke pusat pemberian vaksinasi (PPV) terpilih bermula Ogos, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

CITF berkata, rakyat berusia 40 tahun dan ke atas serta mempunyai dua atau lebih penyakit (komorbid) boleh berbuat demikian antara 2 Ogos dan 22 Ogos.

Sementara itu, warga berumur 18 tahun ke atas akan dibenar mendapatkan vaksin bermula 5 Ogos hingga 22 Ogos.

Bagaimanapun, CITF berkata, mereka yang telah dapat tarikh janji temu tidak akan dibenarkan jumpa terus.

“Jika masih ada masa untuk janji temu, mereka tidak dibenar membatalkan janji temu mereka untuk jumpa terus,” kata CITF.

Jumpa terus hanya akan dibenarkan selepas pukul 2 petang dan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan, lesen memandu, butiran kad kredit, bil utiliti, kad pekerjaan, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain diperlukan sebagai bukti individu itu menetap di Lembah Klang.

PPV yang dipilih ialah HCO F, G, dan H di Kuala Lumpur Convention Centre, Bangi Avenue Convention Center (BACC), Hotel Wyndham di Klang, Dewan Tun Razak Sabak Bernam, Dewan Komuniti Serendah, Movenpick Hotel & Convention Center KLIA dan Ideal Convention Center (IDCC) di Shah Alam.

Ibu mengandung tidak perlu jumpa terus kerana janji temu mereka akan dibuat melalui MySejahtera.

Sementara itu, mereka yang mempunyai komorbid perlu membawa surat doktor untuk mengesahkan sejarah kesihatan.

Suntikan akan dikendalikan berdasarkan datang awal dilayan dahulu bergantung pada bekalan di PPV.

Bagi warga asing yang tinggal di Lembah Klang, mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi akan dibenarkan jumpa terus pada 9 Ogos hingga 11 Ogos sementara mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh berbuat demikian antara 12 Ogos dan 22 Ogos.

Seperti warganegara, bukan warganegara juga perlu membawa dokumen pengenalan diri sebagai bukti mereka menetap di Lembah Klang.

Mereka yang tidak ada dokumen perjalanan dan pengenalan yang sah harus menjalani proses digariskan dalam Garis Panduan Perolehan Vaksinasi untuk Bukan Warganegara yang dikeluarkan CITF.

Bukan warganegara hanya dibenarkan masuk ke PPV Stadium Bukit Jalil.

CITF turut berkata, mulai 9 Ogos, jumpa terus akan dibuka di kawasan-kawasan di pinggir Lembah Klang.

Pasukan petugas itu berkata sejak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menjadi pusat untuk Covid-19, pihaknya berusaha untuk memberikan janji temu kepada semua 6.1 juta penduduk Lembah Klang yang telah mendaftar untuk vaksinasi. – 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen