MENTERI luar Israel berkata beliau telah mengarahkan dutanya menekan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar ambil tindakan terhadap Iran berikutan serangan ke atas kapal dikendalikan jutawan Israel.
Kapal tangki MT Mercer Street diserang di utara Lautan Hindi pada Khamis, membunuh dua anak kapal, dalam apa yang dikatakan Amerika Syarikat sebagai serangan dron.
Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi penganalisis industri maritim Dryad Global berkata serangan terbaharu itu mempunyai ciri-ciri “perang bayangan” antara Israel-Iran yang sedang berlangsung.
“Saya telah arahkan kedutaan di Washington, London dan PBB untuk bekerjasama dengan jurucakap mereka dalam kerajaan dan delegasi yang berkaitan di ibu pejabat PBB di New York,” kata Menteri Luar Israel Yair Lapid pada Jumaat di Twitter.
“Bukan Iran sahaja bagi maslaah kepada Israel, tetapi juga pengeksport keganasan, kehancuran dan ketidakstabilan yang menyusahkan kami semua.
“Kami tidak boleh berdiam diri menghadapi keganasan Iran, yang juga merugikan kebebasan pelayaran,” tambah diplomat tertinggi itu.
Lapid berkata beliau juga telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Britain, Dominic Raab, menyebut “perlunya bertindak balas terhadap serangan kapal di mana seorang warganegara Britain terbunuh”.
Mercer Street, sebuah kapal tangki minyak, diserang ketika dalam perjalanan dari Dar es Salaam di Tanzania ke Fujairah di Emiriah Arab Bersatu, kata pengendali Israel.
Zodiac Maritime, pengendali yang berpangkalan di London milik ahli perniagaan Israel, Eyal Ofer, berkata serangan itu mengorbankan seorang warga Romania dan Britain.
Tentera AS berkata petunjuk awal jelas menunjukkan serangan dron ke atas Mercer Street, sebuah kapal tangki milik Jepun yang mengibarkan bendera Liberia. – AFP, 31 Julai, 2021.
Komen