PEGAWAI Anwar Ibrahim menafikan ketua pembangkang itu akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari ini seperti dilaporkan media.
Pegawai itu mengesahkan kepada The Malaysian Insight, tiada majlis seperti itu dijadualkan untuk Anwar pada hari ini.
“Anwar sebaliknya petang ini dijadual berbincang dengan pegawai-pegawainya berkenaan sidang khas Parlimen yang akan bersambung pada Isnin,” kata pegawai tersebut.
Ia turut dinafikan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang menyifatkan laporan berkenaan sebagai “berita tidak benar”.
Terdahulu hari ini, laporan Astro Awani dan Malaysiakini mendakwa Anwar diperkenan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Laporan memetik sumber PKR itu mendakwa Anwar Akan menghadap baginda di Istana Abdulaziz di Kuantan pada jam 2.30 petang.
Desas-desus mengenai majlis menghadap itu menjadi perhatian selepas baginda menyatakan kemurkaan ke atas Muhyiddin Yassin dan pentadbiran perdana menteri itu.
Ia berkaitan pembatalan ordinan darurat yang dibuat dengan membelakangkan kuasa baginda dan mengingkari titah agar dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen.
Pentadbiran Muhyiddin kini mengelak sebarang usul yang boleh membawa kepada pengundian di Parlimen kerana ia akan menguji sokongan majoriti dan keabsahan kuasa perdana menteri itu. – 31 Julai, 2021.
Komen