Poland bongkar lombong kripto di ibu pejabat polis


Seorang pekerja awam cuba mencuri bekalan elektrik untuk lombong kripto dari ibu pejabat polis Poland. – Gambar AFP, 31 Julai, 2021.

POLIS Poland pada Jumaat berkata mereka berjaya membongkar operasi lombong bitcoin di ibu pejabatnya di Warsaw.

“Seorang pekerja awam, bukan pegawai polis cuba mencuri elektrik untuk melombong bitcoin,” kata jurucakap polis Mariusz Ciarka kepada saluran berita TNV24.

“Malangnya ia berlaku di bangunan polis,” kata Ciarka menekankan yang suspek tidak mempunyai akses kepada pangkalan data polis.

Ciarka menambah yang jenayah itu terbongkar dengan cepat tetapi tidak memberikan tempoh masa tepat.

TNV24 berkata pekerja itu sudah dipecat dan pihak pendakwaan sedang menjalankan siasatan.

Laporan menyebut yang seorang lagi juga dipecat kerana kes itu.

Perlombongan kripto, proses di mana komputer bertindak sebagai lombong kepada mata wang digital dan pengesahan transaksi memerlukan bekalan tenaga dan kuasa yang besar.

Proses biasanya melibatkan sejumlah besar komputer canggih yang membentuk “lapangan” khas yang menjalankan pengiraan rumit bagi menggerakkan rantaian mata wang kripto.

Walaupun memerlukan bekalan tenaga besar, proses itu lumayan kerana setiap bitcoin pada kini bernilai sekitar AS$ 38,800. – AFP, 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen