PRESIDEN Joe Biden menggesa gabenor di beberapa negeri barat Amerika Syarikat yang berdepan masalah kebakaran hutan untuk mengambil langkah segera dalam menangani masalah itu.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada petugas yang terlibat dalam operasi pemadaman 66 kebakaran hutan dan berkata lebih banyak sumber perlu ditambah bagi membantu mereka memadam kebakaran.
“Mereka perlukan lebih banyak bantuan,” kata Biden.
“Kita tidak boleh biarkan faktor cuaca panas, kemarau panjang dan kebakaran hutan daripada menjejaskan negara,” kata Biden kepada gabenor di tujuh negeri barat termasuk California, Oregon dan Montana dalam satu persidangan secara maya.
Biden turut menyatakan kali terakhir beliau mengadakan mesyuarat berhubung kebakaran hutan adalah sebbulan lalu, dan kini kebakaran itu semakin merebak.
Beberapa ribu anggota bomba kini berdepan situasi bahaya dalam memadam kebakaran itu. Setakat ini sekurang-kurangnya dua anggota bomba terbunuh.
Kebakaran di beberapa lokasi termasuk di utara California dilihat semakin marak berikutan keadaan cuaca yang panas. Pihak berkuasa turut memberi amaran situasi itu boleh menjadi lebih buruk.
Biden turut menyatakan sokongannya kepada negeri yang terlibat dan bertanyakan sama ada negeri terbabit memerlukan bantuan kerajaan pusat. – AFP, 31 Julai, 2021.
Komen