PENYANYI Cranberries, Dolores O’Riordan yang ditemui mati di bilik hotelnya di London Isnin lalu akan dibedah siasat hari ini bagi mengenal pasti punca kematiannya, lapor The Irish Times.
Laporan bedah siasat itu dijangka akan diketahui seawal-awalnya esok, lapor The Irish Independent.
Polis London sebelum ini mengesahkan tidak mengesyaki ada sebarang unsur jenayah.
O’Riordan, 46, ditemui mati dalam bilik mandi di biliknya di Hotel Hilton oleh pekerja hotel, beberapa jam sebelum mendiang dijadualkan hadir di studio untuk rakaman album bersama sebuah kumpulan rock heavy metal.
O’Riordan sepatutnya merakamkan suara untuk lagu Zombie, lagu yang menempatkan Cranberries ke peta muzik dunia daripada album kedua mereka, No Need to Argue yang terbit pada 1994.
Lagu itu merupakan dedikasinya kepada mangsa serangan bom keganasan IRA di England setahun sebelum itu.
Selepas selesai bedah siasat, mayat mendiang akan diterbangkan ke Limerick, Ireland untuk disempurnakan awal minggu depan.
Cranberries merupakan antara kumpulan muzik Ireland yang mencipta nama di peringkat dunia pada 1990-an dan dianggap mewakili suara generasi zamannya.
Kumpulan empat anggota itu mula terkenal dengan lagu Linger dan Dreams daripada album pertama Everybody Else Is Doing It, So Why Can’t We? terbitan 1993 dan terjual lebih lima juta unit di seluruh dunia. Keseluruhan tujuh album Cranberries antara 1993 dan 2017 terjual lebih 40 juta unit.
Cranberries berpecah selepas album Wake Up and Smell the Coffee (2001) apabila O’Riordan memilih berehat untuk meneruskan karier solo. Mereka bagaimanapun bergabung semula pada 2009 dan menerbitkan album Roses pada 2012 dan kemudian Something Else pada tahun lalu, yang menghimpunkan rakaman semula 10 lagu popular mereka dalam versi akustik dan tiga lagu baru. – Agensi, 18 Januari, 2018.
Komen