Pengusaha, pakar kesihatan bimbang benarkan penerima 2 dos vaksin makan di premis


Angie Tan

Persatuan restoran dan pakar perubatan bimbang dengan risiko kesihatan jika makan di premis untuk mereka yang sudah divaksin sepenuhnya diberikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2021.

PERSATUAN restoran dan pakar perubatan bimbang akan timbul risiko jika makan di tempat dibenarkan buat mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin, walaupun langkah itu dapat membantu perniagaan kembali pulih.

Mereka juga berkata, perniagaan mungkin dilihat meningkat sedikit kerana tidak semua orang yang diberi vaksin sepenuhnya selesa keluar dalam waktu terdekat dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih teruk.

Pemain industri, bergantung pada jenis restoran yang mereka wakili, mempunyai pandangan berbeza mengenai kemungkinan yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang diberi vaksin sepenuhnya.

Restoran yang lebih besar menjangkakan hanya sebilangan kecil pelanggan yang mahu makan di premis dan ini mungkin tidak membenarkan pembukaan semula untuk perkhidmatan penuh.

Kumpulan peniaga makanan dan minuman (F&B) juga mempunyai pandangan berbeza mengenai kadar vaksinasi yang diterima dalam kalangan penduduk agar makan di kedai dibenarkan.

Presiden Persatuan Restoran dan Tukang Masak Koo Soo, Wong Teu Hoon merasakan lebih baik menunggu sehingga 70% penduduk di negara ini diberi vaksin sepenuhnya sebelum mempertimbangkan untuk membenarkan makan di kedai.

“Berapa ramai isi rumah yang sudah melengkapkan vaksinasi? Perniagaan makanan tidak semestinya bertambah baik, sebaliknya pengendali mungkin rugi dengan membayar lebih banyak bil utiliti, gaji dan kos lain.

“Peniaga sudah rugi besar, kami lebih rela menunggu sampai sasaran vaksinasi tercapai sebelum ia dibuka kembali.

“Lebih-lebih lagi, wabak itu masih teruk dan pengusaha bimbang beberapa pekerja masih belum diberi vaksin sepenuhnya,” kata Wong.

Beliau berkata, apabila kes positif Covid-19 dikesan di restoran, pengendali perlu mengeluarkan lebih banyak kos untuk perkhidmatan pembasmian kuman.

Pada 29 Julai, hanya 19.3% daripada populasi di negara ini menerima dua dos. Negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi vaksinasi sepenuhnya adalah Labuan (54.4%), Sarawak (44.5%) dan Perlis (29.2%).

Lembah Klang mempunyai penduduk yang padat (gabungan Selangor dan Kuala Lumpur), di mana makan di kedai merupakan sebahagian dari gaya hidup pra-pandemik, hanya 23.9% penduduknya sudah diberi vaksin sepenuhnya.

Muhyiddin berkata, baru-baru ini kelonggaran SOP yang dirancang untuk mereka yang sudah diberi vaksinasi sepenuhnya mungkin termasuk makan di kedai, perjalanan rentas negeri untuk suami isteri bekerja dan jarak jauh dan aktiviti sosial serta sukan tertentu. – 31 Julai, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen