AMERIKA SYARIKAT sangat risau dengan gangguan dan intimidasi dihadapi wartawan asing yang membuat liputan banjir maut di China, kata jurucakap Jabatan Negara pada Khamis.
Ucapannya itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Beijing menuduh BBC menyiarkan berita palsu mengenai banjir dahsyat minggu lalu di wilayah Henan, ketika penyiar Britain itu berkata wartawannya telah diganggu.
“Amerika Syarikat sangat bimbang dengan pengawalan ketat, gangguan, dan intimidasi yang semakin keras terhadap wartawan AS dan lain-lain di Republik Rakyat China (RRC), termasuk wartawan asing yang membuat liputan kehancuran dan kehilangan nyawa oleh banjir baru-baru ini di Henan,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price dalam satu kenyataan.
“Kerajaan RRC mendakwa mereka mengalu-alukan media asing dan menyokong kerja mereka, tetapi tindakan itu menceritakan kisah disebaliknya pula,” kata Price.
Jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian pada Khamis menuduh BBC sebagai Syarikat Penyiaran Berita Palsu menyerang dan memburuk-burukkan China, selain ianya menyimpang dari standard kewartawanan.”
BBC berkata wartawannya yang membuat liputan kejadian banjir telah diganggu secara dalam talian, sementara syarikat lain juga turut diganggu.
BBC melaporkan mengenai banjir minggu lalu di bandar Zhengzhou yang menyebabkan 14 orang maut dan lebih 500 penumpang terperangkap dalam sistem kereta api bawah tanah di bandar itu ekoran banjir teruk.
Wartawan AFP dipaksa penduduk Zhengzhou untuk menghapus rakaman dan dikelilingi oleh puluhan lelaki ketika melaporkan kejadian itu di terowong lalu lintas yang tenggelam.
Bercakap kepada wartawan pada Jumaat, Zhao membantah kritikan Jabatan Luar Negeri AS dan menuduh Washington “mencabul standard dan membuli.”
Zhao berkata AS sebelum ini telah mengusir wartawan China dan mengenakan sekatan diskriminasi kepada mereka dan meminta Washington merenung diri sendiri dan hentikan serangan berterusannya terhadap China. – AFP, 30 Julai, 2021.
Komen