Israel tambah had zon perikanan, kembalikan import bantuan di Gaza


Jarak zon tangkapan ikan di Gaza ditambahkan kepada 12 batu nautika daripada enam berikutan keadaan di Gaza yang sudah kembali tenang, kata COGAT, badan tentera Israel yang bertanggungjawab atas urusan sivil di wilayah Palestin yang dijajah. – Gambar EPA, 30 Julai, 2021.

ISRAEL pada Jumaat berkata ia telah mengembalikan zon tangkapan ikan di Gaza dan akan membenarkan semula import projek bantuan antarabangsa selepas wilayah itu kembali tenang.

Had zon tangkapan ikan dan import digunakan Israel bagi menghukum penguasa Islam Hamas.

“Ketika keadaan keselamatan kembali pulih… zon tangkapan ikan di Gaza akan ditambahkan jaraknya mulai Jumaat dari enam menjadi 12 batu nautika,” kata COGAT, badan tentera Israel yang bertanggungjawab atas urusan sivil di wilayah Palestin yang dijajah.

“Mulai Ahad, pengimportan peralatan dan barang untuk projek masyarakat antarabangsa di Gaza akan dibenarkan,” tambahnya.

“Langkah baharu ini bergantung pada situasi keamanan di rantau ini.”

Israel mengenakan sekatan itu pada Ahad lalu sebagai tindak balas terhadap beberapa kebakaran di kawasan sempadan yang disebabkan oleh serangan dilancarkan dari Gaza. Ia juga membuat dua serangan udara, kata sumber Palestin.

Gencatan senjata telah berlaku sejak konflik 11 hari antara Israel dan Hamas pada Mei lepas.

Israel, yang telah mengadakan sekatan di Gaza selama lebih dari satu dekad, telah menetapkan zon penangkapan ikan untuk kawasan pantai kepada 20 batu nautika berikutan perjanjian damai Oslo pada 1990-an.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini Israel mengurangkan jarak itu bergantung pada ketegangan dengan Hamas. – AFP, 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen