Presiden Israel terima suntikan ketiga vaksin Covid-19


Presiden Israel Isaac Herzog mendapat dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada Jumaat, sekali gus melancarkan kempen suntikan 'penggalak' untuk rakyat berumur 60 tahun ke atas di negara Yahudi itu. – Gambar EPA, 30 Julai, 2021.

PRESIDEN Israel Isaac Herzog mendapat dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada Jumaat, sekali gus melancarkan kempen suntikan ‘penggalak’ untuk rakyat berumur 60 tahun ke atas di negara Yahudi itu.

“Kami lancar vaksinasi penggalak” supaya kehidupan di Israel dapat kembali normal secepat mungkin, kata Herzog setelah menerima suntikan ketiganya itu hospital di Ramat Gan, dekat Tel Aviv.

Israel cepat melancarkan kempen vaksinasi dan telah menarik banyak larangan perhimpunan awam pada Jun, tetapi jangkitan kes tetap melambung tinggi, dan sekali lagi pemakaian pelitup muka wajib diwajibkan di tempat umum tertutup.

Perdana Menteri Naftali Bennett mengumumkan kempen penggalak buat warga atas 60 tahun pada Khamis, kerana kebimbangan yang meningkat mengenai varian Delta Covid-19.

“Israel adalah pelopor untuk beri dos ketiga kepada rakyat berusia 60 tahun ke atas,” kata perdana menteri berusia 49 tahun ketika menemani Herzog ke hospital.

“Perang melawan pandemik Covid adalah perang global. Satu-satunya cara kita dapat kalahkan Covid adalah secara bersama.

“Bersama bermaksud berkongsi maklumat, bersama bermaksud berkongsi kaedah, teknologi, pandangan dan langkah-langkah yang dapat diambil. Israel terbuka untuk berkongsi semua maklumat yang dapat kita peroleh dari langkah berani ini. Kita boleh menang bersama.”

Israel telah meluluskan pengambilan suntikan ketiga pada Julai buat rakyat yang imunotindasan teruk, kerana sistem imuniti tubuh mereka mudah terkesan dengan virus.

Pfizer, yang menghasilkan vaksin yang digunakan di Israel, berkata penyelidikan menunjukkan dos ketiga mempunyai kesan peneutralan terhadap varian Delta Covid.

Bagaimanapun Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat, yang cadangannya diikuti Israel, masih belum memberikan lampu hijau untuk dok ketiga kepada warga emas. – AFP, 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen