-2.jpg)
AMANAH amat kesal dengan sikap Muhyiddin Yassin sepertimana yang dizahirkan melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri malam tadi.
Kenyataan Muhyiddin mempamerkan keangkuhan beliau dan seluruh Jemaah Menteri terhadap teguran dan pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan baginda petang semalam.
Muhyiddin dan kabinetnya cuba menegakkan benang yang basah dengan mendakwa beliau dan Jemaah Menteri telah menjalankan tugas mereka dengan teratur dalam soal pembatalan Ordinan Darurat yang menjadi pertikaian sekarang.
Kenyataan Muhyiddin seolah-olah membayangkan bahawa Agong tidak memahami keadaan sebenarnya dan tersilap apabila menyatakan baginda amat dukacita dengan tindakan Jemaah Menteri. Muhyiddin seterusnya cuba menyalahkan pembangkang pula seolah-olah kami semua menimbulkan kekeliruan dalam persoalan ini.
Hakikatnya, dari awal lagi Jemaah Menteri ingkar dengan saranan baginda yang telah menitahkan dalam Perutusan Media sejurus selepas Perbincangan Khas Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pada 16 Jun, 2021, supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Walaupun akhirnya Parlimen telah mengadakan sidang khas bermula pada 26 Julai yang lalu, apa yang cuba disembunyikan adalah percubaan Muhyiddin untuk mengelak sebarang perbahasan di dalamnya berhubung Ordinan Darurat.
Dengan itu, Muhyiddin bertindak membelakangkan titah Seri Paduka Baginda dengan mencari ruang tafsiran undang-undang yang menyeleweng dari semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi yang diamalkan negara.
Apabila ditegur oleh baginda, Muhyiddin memilih untuk menempelak baginda dan memperlekehkan sidang Parlimen semalam dengan menempohkan persidangan pada asalnya dari jam 12.45 kepada 2.30 petang, dan pada 2.30 petang ditempohkan pula kepada 5.15 petang dan pada 5.15 petang ditempohkan pula kepada Isnin depan.
Dalam usaha untuk kekal berkuasa, Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menteri mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara dengan membelakangkan dan menghina institusi Agong, Parlimen serta Perlembagaan Negara.
Dalam suasana rakyat sedang berdepan dengan krisis wabak dan ekonomi, Muhyiddin dan seluruh kabinetnya yang terdiri dari ahli Parlimen Bersatu, Umno, PAS, GPS dan lain-lain memilih untuk menimbulkan krisis politik demi menutup kegagalan mereka.
Amanah menjunjung kasih terhadap keprihatinan baginda mempertahankan perlembagaan, sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Kami berjanji akan berdiri teguh bersama Agong dalam usaha baginda mempertahankan ketiga-tiga teras dan prinsip kenegaraan Malaysia ini. Kami mengutuk sekeras-kerasnya semua pihak yang ingin memperlekehkan dan membelakangkan ketiga-tiga teras dan prinsip ini.
Amanah menuntut Muhyiddin bertanggungjawab terhadap tindakan penderhakaan kepada Agong dan atas segala kecurangan Jemaah Menteri terhadap keluhuran perlembagaan persekutuan dan institusi Parlimen.
Oleh itu, Amanah menuntut Muhyiddin dan seluruh anggota kabinetnya untuk meletak jawatan serta merta dan memohon sembah ampun dari baginda. – 30 Julai, 2021.
* Mohamad Sabu, presiden Amanah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen