Isteri pastor hilang harap petunjuk terbaru polis tulen


Noel Achariam

Susanna Liew (tengah) berharap petunjuk terbaru polis serta pendakwaan suspek berkaitan penculikan suaminya, Raymond Koh tulen. Dalam gambar, Susanna bersama anak perempuannya, Elizabeth Koh (kiri) dan Esther Koh (kanan) pada sesi siasatan awam Suhakam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2018.

SUSANNA Liew, isteri Pastor Raymond Koh yang hilang secara misteri berharap petunjuk terbaru diperolehi polis mengenai kehilangan suaminya itu adalah tulen, kerana seluruh dunia sedang menyaksikan perkembangan terkini kes itu.

Semalam, polis mengumumkan yang mereka sudah mendakwa seorang suspek berkaitan penculikan itu setelah hampir setahun Koh hilang tanpa jejak.

“Jika polis tidak mampu membuktikan petunjuk berkaitan penculikan suami saya tulen, saya akan membawa persoalan berkaitan ini kepada mereka sekali lagi dan saya akan meminta jawapan yang memuaskan.

“Ini adalah kerana saya adalah isteri Raymond dan berhak tahu apa yang berlaku kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang pemandu lori sambilan, Lam Chang Nam dari Taman Sri Ampang, Ipoh didakwa atas kesalahan menculik di Mahkamah Petaling Jaya Isnin lalu.

Lam ditahan tahun lepas kerana cuba memeras ugut anak lelaki Koh, Jonathan sebanyak RM30,000.

Liew berkata seperti semua orang, keluarga itu terkejut dengan perkembangan itu dan mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam pendakwaan suspek itu.

Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana dengan pendakwaan Lam, siasatan awam dilakukan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkaitan kehilangan Koh ditangguhkan serta merta kerana ia sudah menjadi kes mahkamah.

“Saya sangat kecewa kerana polis memutuskan untuk mengambil tindakan yang menganggu siasatan (Suhakam), dan mereka tak cuba pun untuk maklumkan kepada saya dan anak-anak mengenai ‘perkembangan terbaru’ ini.

“Ini adalah gaya bekas Ketua Polis Negara (Khalid Abu Bakar) tahun lepas, dan saya secara peribadinya berharap yang KPN baru (Fuzi Harun) ia akan berubah menjadi lebih baik.

“Tetapi saya masih bersyukur yang sekurang-kurangnya saksi utama sudah memberi keterangan dalam siasatan penculikan suami saya.

“Saya harap kes lain akan terus (disiasat) tanpa gangguan atau campur tangan supaya kebenaran akan terdedah,” katanya.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang mengetuai siasatan awam berkaitan kehilangan Koh menyatakan yang suruhanjaya menerima surat pada Isnin memberitahu polis sudah menahan seorang suspek pada 12 Januari.

Pastor Raymond Koh dan tiga lagi aktivis lain hilang secara misteri dan kehilangan itu sedang disiasat Suhakam bagi menentukan sama ada ia ada kaitan dengan kehilangan paksaan direstui pihak berkuasa negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2018.

Suhakam memutuskan untuk menangguhkan siasatan awam selepas mendapati polis sudah mendakwa Lam berkaitan kehilangan Koh.

Panel Suhakam itu diwujudkan bermatlamat untuk menyiasat sama ada penculikan Koh serta tiga yang lain pada 2016 adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini.

Liew berharap polis akan menghubungi keluarganya secepat mungkin untuk mengaturkan mesyuarat.

“Jika petunjuk terbaru ini ada tulen, maka kami tidak sabar untuk menyiasatnya dan mengharapkan jawapan sebenar dari polis yang mendakwa mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Lam kerana menculik yang menghentikan siasatan Suhakam,” katanya.

Koh diculik pada 13 Febuari di Petaling Jaya oleh 15 orang lelaki bertopeng menggunakan tiga buah SUV hitam. Rakaman CCTV menunjukkan penculikan yang berlaku pada siang hari itu dilakukan dengan teratur. Tiada panggilan daripada penculiknya meminta wang tebusan atau apa sahaja bentuk perhubungan lain, seterusnya mencadangkan wang tebusan bukanlah motif utama penculikan itu.

Lam pertama kali ditahan sebulan selepas penculikan Koh. Dia didakwa kerana peras ugut. Jonathan kemudian dipanggil sebagai saksi dalam kes itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 30 November 2017.

Dia sekali lagi dipanggil sebagai saksi kes yang sama pada Febuari 2018. Dalam kedua-dua perbicaraan itu, kes itu diletakkan di bawah “Seksyen 285 Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan meletakkan seseorang dalam ketakutan dicederakan kerana pemerasan”

Peguam Aaron Mark Pius yang mewakili Lam berkata anak guamnya didakwa Mac tahun lepas kerana peras ugut dan direman dua minggu.

“Kami berjaya membebaskan Lam selepas membayar ikat jamin RM5,000. Perbicaraan untuk kes peras ugut itu bermula pada 30 November di mana seorang saksi dipanggil.

“Jumaat lalu, keluarga Lam menghubungi saya mengatakan yang dia ditahan sekali lagi di Ipoh. Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya dan didakwa menculik,” kata Pius kepada The Malaysian Insight.

Pius berkata beliau terkejut yang dakwaan baru dikenakan ke atas Lam.

“Ia mengejutkan dan kami tak jangka ia berlaku. Ikat jamin ditetapkan pada RM5,000 dan kes Lam akan didengar pada 26 Febuari.

“Ketika itulah kami menjangkakan untuk menerima bukti pendakwaan baru ini serta dokumen berkaitan dari pendakwaraya,” katanya. – 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen