Gempa 8.2 magnitud gegar Alaska


Lokasi kejadian gempa di tenggara Alaska, AS. – Gambar EPA, 29 Julai, 2021.

GEMPA 8.2 magnitud melanda Semenanjung Alaska pada Rabu malam, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menghasilkan gelombang kecil tetapi tiada tsunami besar.

Gempa melanda 91km tenggara bandar Perryville, kata USGS.

Gempa berlaku pada 10.15 malam Rabu (0615 GMT Khamis). Perryville adalah sebuah kampung kecil sekitar 500 batu dari Anchorage, bandar terbesar di Alaska.

Pusat Amaran Tsunami Negara kerajaan AS segera mengeluarkan amaran tsunami bagi selatan dan semenanjung Alaska.

Awalnya ia memberi amaran gelombang berbahaya dalam tempoh tiga jam.

Tetapi selepas hampir tiga jam ketinggian maksimum yang dikesan oleh pusat adalah 21cm dan ia menurunkan amaran ancaman tsunami kepada nasihat.

Siren amaran tsunami disiarkan di seluruh Kodiak, sebuah pulau dengan populasi sekitar 6,000 orang, di sepanjang pantai Alaska.

Gelombang kecil melanda pantai Kodiak, menurut stesen radio tempatan KMXT yang berkata pihak berkuasa menarik perintah pemindahan, tanpa laporan sebarang kerosakan.

“Ini adalah gempa bumi terbesar yang berlaku di wilayah Alaska sejak 1965,” kata Michael West, ahli seismologi negeri bersama Pusat Gempa Alaska, kepada Alaska Public Media.

Alaska adalah sebahagian daripada lingkaran api pasifik yang aktif secara seismik..

Ia pernah dilanda gempa berkekuatan 9.2 pada Mac 1964, paling kuat pernah tercatat di Amerika Utara.

Ia memusnahkan Anchorage dan menyebabkan tsunami yang menghancurkan Teluk Alaska, pantai barat AS, dan Hawaii.

Lebih 250 orang terbunuh akibat gempa dan tsunami.

Gempa berkekuatan 7.5 juga menyebabkan gelombang tsunami di pantai selatan Alaska pada Oktober, tetapi tiada korban jiwa dilaporkan. – AFP, 29 Julai, 2021.  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen